Putrajaya-Jakarta setuju laksana koridor perjalanan awal tahun depan

Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement (TCA) atau Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkara itu menyusul pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Presiden di Jakarta hari ini.

Beliau berkata sebagai permulaan, inisiatif koridor perjalanan ini akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara, kemudian boleh ditambah destinasi-destinasi lain yang telah menunjukkan risiko yang rendah.

“Ia akan memberi keutamaan kepada mereka yang telah divaksinasi penuh, bagi kategori pengembara untuk tujuan rasmi, perniagaan, perubatan dan kemanusiaan.

“Koridor perjalanan ini juga akan melibatkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi COVID-19 dan standard keputusan ujian saringan PCR COVID-19,” katanya dalam kenyataan bersama Jokowi.

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif tersebut akan memudahkan pergerakan semula rakyat kedua-dua negara.

Sebelum ini, Malaysia dan Singapura bersetuju melancarkan VLT antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 29 November 2021.

Di bawah inisiatif ini, pengembara yang sudah mendapat vaksin penuh akan dapat melakukan perjalanan antara Malaysia dan Singapura, dan tertakluk kepada ujian Covid-19 sebagai ganti kepada perintah kuarantin atau notis duduk rumah.

Ismail Sabri berkata pembukaan semula sempadan secara kaedah yang selamat adalah penting dalam mengimbangi di antara keperluan membuka dan membangunkan semula ekonomi dan menjaga aspek keselamatan dan kawalan kesihatan awam.

Beliau dan Jokowi berharap inisiatif tersebut dapat dimuktamadkan segera dan mula dilaksanakan pada awal tahun 2022. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR