PUI, PUS boleh mengundi esok

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pengundi yang bergejala termasuk mereka yang sedang dikuarantin, untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata khemah khas akan disediakan untuk kumpulan itu dan dipantau oleh pegawai kesihatan.

“Bagi pengundi berstatus PUI dan PUS yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Kesihatan Daerah yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian berkenaan, untuk keluar sementara ke pusat mengundi.

“Kebenaran ini adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh Pegawai Kesihatan Daerah tersebut dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh KKM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa yang sama, Ikmalrudin sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga jam 11.59 malam.

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi, termasuk menerusi saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” katanya.

Seramai 2,539,606 orang pengundi layak mengundi dalam PRN kali ini.

Berikut adalah peraturan yang ditetapkan bagi PUI dan PUS bagi PRN Johor esok.

Pengundi positif Covid-19 semasa hari mengundi dan pengundi berstatus patient under investigation (PUI) dan person under surveillance (PUS)

• Bagi pengundi yang berstatus Covid-19 positif, mereka adalah tidak dibenarkan keluar dari tempat mereka sedang menerima rawatan (hospital/pusat rawatan/pusat kuarantin/rumah dll.) untuk mengundi kerana masih dalam rawatan dan sememangnya masih berjangkit dan boleh menyebabkan penularan jangkitan kepada orang lain selagi mana masih dalam rawatan;

• Pengundi berstatus patient under investigation (PUI) dan person under surveillance (PUS) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran dari Pegawai Kesihatan Daerah (PKD), Pejabat Kesihatan Daerah yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian berkenaan, untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi. Kebenaran ini adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh Pegawai Kesihatan Daerah tersebut dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh KKM;

• Pengundi yang berstatus PUI dan PUS hendaklah diasing dan ditempatkan di khemash/bilik/ruang khas yang disediakan;

• PUI dan PUS dikehendaki menggunakan pengangkutan sendiri untuk pergi ke Pusat Mengundi. Penggunaan pengangkutan awam tidak dibenarkan;

• Kebenaran keluar mengundi untuk individu yang berstatus PUI dan PUS adalah tertakluk kepada tempoh yang dibenarkan oleh pihak KKM. Setelah selesai mengundi, individu ini dikehendaki segera meninggalkan Pusat Mengundi dan terus pulang ke tempat kuarantin dijalankan; dan

• Khemah/bilik/ruang khas hendaklah dilakukan disinfeksi berdasarkan garis panduan KKM sebaik sahaja selepas setiap pengundi positif Covid-19, PUI dan PUS selesai mengundi.

BERITA BERKAIT
POPULAR