
Ibadah haji 2022. - Gambar FB
Umat Islam Malaysia tidak perlu keliru berhubung puasa sunat Arafah, sama ada perlu mengikut kalendar Arab Saudi atau tempatan, kerana perbezaan waktu terbit matahari.
Sebaliknya sebagaimana diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Hari Raya Korban di Malaysia jatuh pada Ahad, 10 Julai, maka puasa sunat Arafah adalah pada Sabtu (9 Julai).
Oleh itu, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Jamali Mohd Adnan berkata umat Islam tidak perlu berpuasa mengikut kalendar Arab Saudi yang menetapkan 9 Zulhijjah iaitu Jumaat (hari ini) dengan sambutan Aidiladha jatuh pada esok (Sabtu).
“Memandangkan menyambut Aidiladha pada Ahad, 10 Julai sebagaimana diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, maka puasa sunat Arafah ialah pada Sabtu,” katanya mengulas kekeliruan sebilangan umat Islam mengenai tarikh puasa sunat Arafah.
Menurutnya bagi negara atau kawasan yang berlainan terbit matahari seperti Malaysia dan lain-lain, penentuan 9 Zulhijjah adalah mengikut ketentuan imkanur-rukyah negara masing-masing.
“Negara kita yang terletak kira-kira 7,000 kilometer dari Arab Saudi mempunyai ‘matla’ (zon terbit matahari dan bulan) yang berbeza dan mempunyai kaedah falak yang jelas serta diperakui oleh ulama falak dalam menentukan tarikh penting dalam Islam,” katanya.
Beliau juga berkata, setiap permasalahan yang timbul termasuk berkaitan penetapan tarikh puasa sunat Arafah dan sambutan Aidiladha diterangkan oleh ulama menerusi kitab mereka.
Mengenai penetapan puasa sunat Arafah, beliau memberitahu, terdapat dua pandangan mengenai ketetapan itu.
“Di Malaysia, kita mengikut pendapat kedua oleh Mazhab As-Syafie dan juga sebahagian ulama Malikiyyah seperti Ibnu Abdil, iaitu puasa sunat Arafah mengikut perkiraan melihat anak bulan Zulhijjah pada sesuatu negeri (iaitu tanggal 9 Zulhijjah itu sendiri),” katanya.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berpuasa sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
Daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a.; Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di Hari Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith riwayat Imam Muslim)