
Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos 2023.
Parlimen sudah dibubarkan dan parti-parti yang bertanding sudah bersedia memalu gendang kempen mereka. Semua pihak menanti-nanti tarikh keramat membuang undi. Cakap-cakap pilihanraya terus menghangatkan kedai kopi.
Dalam pada itu, politik negara dikatakan sedang matang, begitu juga rakyat sudah cukup dewasa dan faham dengan senario politik Malaysia. Oleh itu, tidaklah sewenang-wenangnya bagi mereka untuk ‘menyerahkan’ mandat pemerintahan kepada pemimpin yang hanya anggap jawatan adalah lubuk membina pengaruh dan mengaut keuntungan harta semata.
Pilihan raya umpama ‘gelanggang politik’ kerana ia adalah tempat untuk parti politik menjuarai hati rakyat dengan menyajikan ‘janji-janji manis’ untuk meraih undi rakyat. Bagaimanapun, semuanya terletak di atas bahu rakyat untuk menentukan barisan kepimpinan yang layak untuk kemudi bahtera Keluarga Malaysia yang baharu.
Persoalannya adakah rakyat ataupun pengundi memilih calon ataupun parti?
Malaysia telah melalui 14 pilihan raya umum semenjak merdeka. Pengundi memilih calon mengikut mengikut sistem majoritarian First-Past-The Post (FPTP). Sistem ini adalah sistem pilihan raya yang diwarisi daripada sistem Westminster yang diamalkan di Britain.
Dalam pilihan raya, pengundi akan memilih seorang daripada calon-calon yang bertanding di kawasan Parlimen tersebut. Calon yang mendapat undi terbanyak di antara calon-calon bagi kawasan tersebut akan diisytiharkan sebagai pemenang dan menjadi ahli Parlimen yang akan mewakili penduduk bahagian yang dia menang.
Seterusnya Agong akan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri. Biasanya Agong akan melantik ketua parti yang memperoleh kerusi terbanyak tetapi sejarah telah menunjukkan bahawa tidak semestinya ketua parti politik yang dilantik menjadi Perdana Menteri.
Namun begitu terdapat juga sebilangan pengundi yang mementingkan siapakah calon yang akan mewakili mereka. Golongan ini mahukan calon yang mereka pilih bukan sahaja bekerja untuk parti yang diwakili tetapi yang penting bekerja untuk mereka.
Kebiasaannya, golongan ini bukan ahli mana-mana parti sebaliknya mereka yang dilabelkan sebagai pengundi atas pagar. Namun begitu tidak dinafikan, di tangan merekalah sebenarnya kemenangan ditentukan. Pihak yang bertanding sudah pasti maklum tentang kepentingan undi dari golongan ini.
Sepatutnya kriteria calon menjadi pertimbangan setiap pengundi ketika membuat pilihan. Ketepikan soal parti yang diwakili calon kerana yang akan bekerja selepas pilihanraya nanti adalah calon. Sebagus mana pun rekod sesuatu parti, tetapi kalau calon pun dah dikenal pasti korup, rasuah, buruk akhlak ditambah lagi berlainan akidah dengan kita masihkah ada keinginan untuk memangkah calon tersebut?