
Tarikh Pilihan Raya Umum perlu dibincang dengan Yang di-Pertuan Agong.
Dua penganalisis pelaburan berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) awal – yang menawarkan kerajaan stabil – merupakan aspek penting dalam membolehkan penjanaan hasil fiskal yang meluas, terutama melalui peralihan kepada cukai tidak langsung.
Penganalisis Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), Anand Pathmakanthan dan Wong Chew Hann berkata cukai tidak langsung itu termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Cukai Keuntungan Modal, cukai karbon, yang kesemuanya perlu termasuk dalam Strategi Hasil Jangka Sederhana kerajaan.
Kedua-duanya, dalam nota penyelidikan hari ini, berkata PRU-15 yang awal adalah dijangka selepas momentum yang kukuh dijana daripada pilihan raya negeri Melaka pada November 2021, apabila gabungan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO memenangi majoriti dua pertiga, diikuti pilihan raya negeri Johor yang diadakan pada hujung minggu lepas yang memperoleh satu lagi kemenangan untuk BN.
Menurut mereka, situasi gabungan pemerintah nasional semasa dan impaknya terhadap penggubalan dasar dan kesesuaian, merupakan cabaran utama pada peringkat makro dan pasaran, lapor Bernama.
Katanya dinamik fiskal yang terjejas yang membawa kepada, mengikut Bajet 2022, kepada cukai atau levi yang ad hoc, terutamanya kepada sektor korporat seperti Cukai Makmur, menyebabkan pendapatan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot dalam anggaran 2022.
“Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang sebanyak 6.0 peratus yang telah menjejaskan sentimen perniagaan dan pelabur serta meningkatkan premium risiko pasaran,” kata mereka.
Penganalisis itu berkata FBM KLCI menikmati prestasi relatif dalam tempoh awal tahun kewangan hingga setakat ini berbanding pasaran maju dan rakan setara ASEAN berikutan Malaysia memanfaatkan secara positif komoditi seperti lonjakan harga minyak dan gas, aluminium dan minyak sawit mentah (MSM), dengan saham yang berkaitan menyumbang 24 peratus daripada permodalan KLCI.
“Bagaimanapun, jumlah itu kurang jelas pada peringkat makro. Walaupun ia positif untuk KDNK dan perdagangan, kenaikan fiskal terjejas oleh subsidi harga bahan api,” kata mereka.
Mereka berkata sebarang pelarasan kepada subsidi bahan api hanya dilihat selepas PRU15 dan dijangka progresif (bukan menggantikan pembaharuan cukai struktur).
Kedua-dua penganalisis itu mengekalkan sasaran FBM KLCI pada 1,710 untuk akhir 2022.