
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Negara memerlukan sedikit masa lagi untuk mencerdaskan semula ekonomi, termasuk di peringkat negeri, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga menyifatkan PRU-15 awal boleh mengganggu rancangan kerajaan untuk merancakkan semula ekonomi dalam tempoh fasa pemulihan endemik Covid-19.
Menurutnya negara sekarang ini berada di landasan betul memulih dan mencerdaskan ekonomi termasuk di peringkat negeri-negeri, selain sejajar dengan aspirasi dan permintaan rakyat kerana Malaysia baharu sahaja pulih daripada pandemik Covid-19.
“Kita lihat prestasi ekonomi semakin baik dan sudah tentu kita memerlukan sedikit lagi masa supaya program pemulihan ini dapat berjalan dengan baik dan lancar.
“Ini bukan masanya untuk mengadakan pilihan raya semata-mata kerana nafsu serakah satu dua kerat pemimpin UMNO yang mempunyai kepentingan peribadi mereka.
“Maka kita harus meletakkan kepentingan ekonomi negara dan kepentingan rakyat dalam memastikan Malaysia terus memacu satu pertumbuhan yang lestari untuk masa akan datang,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah di Alor Setar, semalam.
Mohamed Azmin berkata, dalam konteks pelaburan sudah pasti sesebuah syarikat mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil, bersih dan berintegriti selain ekosistem perniagaan yang kondusif untuk mereka membuat pelaburan di Malaysia.
“Sebab itu saya berpandangan ini bukan masanya untuk mengadakan PRU-15, tumpuan kita adalah untuk melindungi kesihatan rakyat kerana Covid-19 masih ada walaupun dalam keadaan terkawal,” katanya.
Menurutnya perkembangan ekonomi negara dijangka terus bertambah baik pada penghujung tahun ini setelah mencatatkan lima peratus peningkatan pada suku pertama 2022.
Bagaimanapun katanya, perbincangan ke arah PRU-15 di peringkat PN tetap diadakan, namun bukanlah secara terperinci kerana ia bukan keutamaan ketika ini.
“Pada minggu hadapan, ada satu pertemuan penting peringkat PN yang juga akan diwakili oleh kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh PN untuk membincangkan tentang gerak kerja,” katanya.