
Tiket penerbangan semasa musim perayaan masih terlalu tinggi.
Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini, harga tiket tiket penerbangan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung masih tidak menunjukkan penurunan masalah semakin meningkat.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata Kementerian Pengangkutan perlu mengawal ketat harga tiket penerbangan bagi memastikan pengundi mampu membeli tiket untuk pulang mengundi.
“Kadar tambang pergi balik khususnya antara Sabah dan Semenanjung menunjukkan kadar yang semakin tinggi menjelang dua tiga hari sebelum hari mengundi pada 19 November. Ini sesuatu yang membimbangkan.
“Situasi itu sesuatu yang merugikan negara terutama kepada golongan yang dijangka paling ramai terjejas iaitu pengundi muda atau Undi18 kerana tambang mahal,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Semakan di dua laman web penyedia perkhidmatan penerbangan hari ini (26 Oktober 2022) mendapati harga tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu pada 18 November antara RM335 sehingga RM491.
Manakala penerbangan ke Miri pada tarikh sama antara RM 305 hingga RM 332 sehala menjadikan tiket penerbangan pergi balik ke Sabah Sarawak boleh mencecah sehingga RM700 atau RM800 seorang belum mengambil kira kos tambahan lain seperti Grab atau teksi.
Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan pengundi muda dalam kategori pengundi awal atau undi pos untuk memastikan mereka tidak terlepas menunaikan tanggungjawab demokrasi.
Katanya kaedah ini dapat menangani masalah ketidakmampuan pelajar membeli tiket penerbangan yang mahal untuk pulang mengundi khususnya pelajar Sabah atau Sarawak di Semenanjung dan sebaliknya.
“SPR perlu mencari jalan bagi memudahkan golongan pelajar atau pengundi muda 18 tahun untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan antara kaedah terbaik ialah memasukkan mereka sebagai pengundi awal atau pengundi pos,” katanya.