PRU-15: KJ kata tunggu, jangan gadai kesihatan rakyat kerana lihat peluang politik

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat selagi keadaan kesihatan rakyat belum stabil sepenuhnya akibat pandemik Covid-19.

Malah, beliau tidak melihat keperluan untuk mengadakan PRU-15 dalam keadaan kedudukan kerajaan sekarang ini adalah stabil setelah wujudnya Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik, dengan pembangkang.

Beliau juga mengingatkan sesetengah pihak supaya tidak mengundang perkara yang tidak perlu semata-mata kerana melihat ada peluang politik di depan mata.

Khairy berkata walaupun negara akan memasuki fasa peralihan endemik, tidak bermakna pandemik itu telah tamat, sebaliknya semua pihak masih perlu berhati-hati dan waspada.

Bercakap kepada pemberita selepas program khidmat komuniti anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia di Seremban hari ini, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berpendapat keadaan kesihatan awam perlu distabilkan terlebih dahulu sebelum PRU-15 diadakan.

“Walaupun negara telah masuk ke fasa peralihan ke endemik, tidak bermaksud pandemik berkenaan sudah tamat dan semua pihak masih perlu berhati-hati memandangkan PRU-15 melibatkan orang ramai.

“Sempadan negara dibuka, saf (solat) boleh dirapatkan dan had maksimum kapasiti di masjid dan surau dimansuhkan… tetapi itu tidak bermakna kita boleh buat apa sahaja,” katanya sambil menjelaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baharu sahaja selesai.

“Saya nampak Kerajaan Persekutuan ada perjanjian hingga Julai, tiada keperluan mendesak kerana kerajaan stabil, tidak akan tumbang, undang-undang dapat diluluskan di Parlimen… jangan kita mengundang perkara yang tidak perlu semata-mata kita nampak ada peluang politik,” katanya lagi.

Berhubung pesakit Covid-19 yang tidak dibenar mengundi, Khairy berkata perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu diadakan bagi mencari mekanisma terbaik bagi membolehkan pesakit berkenaan boleh menunaikan tanggungjawab mengundi.

“Ya, memang hak mereka (pesakit Covid-19) mengundi dan hak rakyat Malaysia (juga untuk) tidak dijangkiti Covid-19, jadi dalam mengimbangi hak ini, kita perlu kaedah terbaik,” katanya.

Mengulas cadangan segelintir pihak agar Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dijadikan pusat mengundi, Khairy berkata hampir 96 peratus pesakit Covid-19 menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Menurut Khairy sekiranya PKRC digunakan sebagai pusat mengundi, persoalan lain yang akan timbul adalah keselamatan kesihatan anggota keluarga yang terdedah dengan jangkitan Covid-19 semasa mereka menghantar pesakit ke PKRC.

“Saya terbaca semalam, contohnya mewujudkan pusat mengundi di PKRC, persoalannya jika wujud satu pusat mengundi pos bagi pesakit Covid-19, bagaimana mereka hendak pergi ke sana, kalau individu itu boleh bawa kenderaan sendiri tidak menjadi masalah… jika tidak, siapa yang perlu membawa mereka, ini boleh memudaratkan ahli keluarga atau pemandu Grab misalnya.

“Memang banyak cara tetapi saya bangkitkan dulu cabarannya…nak lakukan boleh tetapi perlu berbincang dengan SPR selepas ini,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR