
Orang ramai perlu berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa 'scammer'.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bakal berlangsung kurang 20 hari lagi, ada juga pihak yang mengambil kesempatan mencuba nasib untuk menipu pengundi.
Tersebar hari ini taktik terbaharu ‘scammer’ mengumpan pengundi dengan menawarkan tambang pulang ke kampung untuk mengundi namun perlu mendedahkan nombor kad pengenalan (IC) dan akaun bank.
“Berhati-hati sekarang dengan taktik baharu daripada ‘scammer’. Tadi saya dapat panggilan telefon katanya daripada Perikatan Nasional.
“Tanya fasal persediaan pilihan raya umum, nak buat semakan. Minta nombor IC, nak bagi duit tambang, minta nombor akaun bank.
“Hati-hati ya. ‘Scammer’ cepat saja ambil kesempatan,” mesej yang tular itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 20 Oktober 2022 menetapkan 19 November 2022 sebagai tarikh pemilih akan membuang undi bagi PRU-15.
Sementara tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November 2022 (Sabtu ini) dan pengundian awal pula 15 November 2022 depan.