
Pihak audit membuat kesimpulan bahawa pengurusan tebatan banjir Kuala Lumpur masih belum mencapai objektifnya.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 1 2021 yang dikeluarkan hari ini mengesan beberapa isu berhubung pengurusan tebatan banjir Kuala Lumpur, dan merumuskan bahawa ia gagal mencapai objektifnya.
Laporan itu juga menekankan bahawa terdapat tiga projek tebatan banjir bernilai RM27.68 juta yang tidak mematuhi prinsip perolehan seperti yang dinyatakan dalam peraturan.
“Pihak audit membuat kesimpulan bahawa pengurusan tebatan banjir Kuala Lumpur masih belum mencapai objektifnya.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum melaksanakan sepenuhnya cadangan langkah tebatan banjir jangka pendek (2018-2022) di bawah Pelan Induk menyebabkan masalah banjir kilat masih belum selesai.
“Selain itu, banjir kilat terus berulang walaupun selepas pelaksanaan projek tebatan itu,” kata laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
Laporan itu juga mendapati beberapa cariasi pesanan berjumlah RM192,553.90 yang diluluskan selepas kontrak tamat, dan lanjutan masa yang diluluskan selepas tamat kontrak.
Sementara itu, rekod aset atau infrastruktur sungai dan takungan banjir adalah tidak lengkap dan tidak terkini, dan tiada bukti menunjukkan kerja penyelenggaraan dipantau.
Ini termasuk penemuan sembilan takungan banjir dan kolam rekreasi yang rosak.
Bagi mengatasi kelemahan yang diketengahkan dan memastikan tidak berulang pada masa hadapan, laporan itu mengesyorkan DBKL melaksanakan projek tebatan banjir secara seimbang dan konsisten.
Audit turut menggesa DBKL mengambil kira cadangan perunding dan keperluan projek ‘hotspot’, supaya pelaksanaan program tebatan banjir lebih menyeluruh dan holistik serta menjalankan penilaian hasil program mitigasi berdasarkan Prosedur Operasi Standard DBKL dari segi keberkesanan dalam menangani banjir.
“Kaji semula komponen dan konfigurasi takungan banjir dan kolam rekreasi milik DBKL serta jalankan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual bagi memastikan takungan banjir dan kolam rekreasi berfungsi secara optimum.
“Kekalkan rekod aset atau infrastruktur sungai dan takungan banjir dan kolam rekreasi tepat pada masanya serta menambah baik kaedah pemantauan di tapak untuk penyeliaan projek dan penyelenggaraan projek,” kata laporan itu.
Pelan Induk yang direka pada 2017 telah mencadangkan 104 pelan tebatan banjir dengan 25 kawasan tadahan.
Sehingga Mac 2022, DBKL mengenal pasti sebanyak 171 kawasan sebagai kawasan ‘hotspot’ banjir kilat.
Antara 2016 hingga Mac 2022, enam projek di bawah Pelan Induk dan 17 projek ‘hotspot’ banjir kilat telah dilaksanakan oleh DBKL.
DBKL bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara tiga sungai utama, tujuh sungai besar, 19 sungai kecil, 25 kolam takungan banjir dan rekreasi, sembilan takungan banjir bawah tanah, 326.63 kilometer saliran utama dan 32 sistem pam kawalan banjir di Kuala Lumpur.