
Projek pembangunan di Bukit Cherakah diluluskan ketika kali terakhir Barisan Nasional (BN) menerajui Selangor di bawah kepimpinan MB ke-14 Dr Khir Toyo. - Gambar FB
Berdepan kemarahan orang ramai berhubung kehilangan kawasan hijau yang semakin meningkat, Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini (13 September) berkata kerajaan negeri mungkin perlu membayar pampasan sebanyak RM1 bilion jika projek pembangunan di Bukit Cherakah dibatalkan secara mengejut.
Menurutnya projek pembangunan berkenaan diluluskan ketika kali terakhir Barisan Nasional (BN) menerajui Selangor di bawah kepimpinan MB ke-14 Dr Khir Toyo.
“Dia (Khir Toyo) tidak boleh lepaskan… dia perlu bertanggungjawab,” kata Amirudin kepada pemberita selepas melancarkan Buku Meja Kopi Air Selangor di Pusat Beli-Belah 1Utama di Petaling Jaya.
Beliau menjawab kenyataan Dr Khir, semalam melahirkan kekecewaan dan mengatakan Amirudin cuba mengalihkan kesalahan kerana menyahwartakan sebahagian daripada hutan simpan Bukit Cherakah.
Amirudin berkata, banyak keputusan kerajaan negeri berhubung tanah yang dibuat ketika Dr Khir menjadi MB, sekali gus mendedahkannya kepada tindakan undang-undang.
Dr Khir adalah MB Selangor dari 2000 hingga 2008.
Minggu lalu, Amirudin berkata kerajaan Selangor akan menyelesaikan proses untuk menyahwartakan sebahagian Bukit Cherakah bagi mengelak kemungkinan tindakan undang-undang oleh syarikat yang mempunyai kepentingan di sana.
Beliau menambah bahawa membatalkan keputusan tahun 2000 akan memberi lebih banyak manfaat kepada pemaju kerana mereka akan diberi pampasan yang besar atas kehilangan perniagaan mereka.
“Jika kerajaan tidak meneruskannya, ia akan berdepan dengan saman kerana syarikat tersebut akan kehilangan peluang perniagaan mereka yang diluluskan oleh bekas Exco kerajaan negeri,” katanya.
Dua kumpulan alam sekitar sebelum ini telah mengheret kerajaan Selangor ke mahkamah bagi menghalangnya daripada membatalkan status sebahagian Bukit Cherakah untuk tujuan pembangunan.