Program vaksinasi tunjuk tanda positif, kes ICU turun: KP Kesihatan

Kadar vaksinasi Covid-19 yang kian meningkat, khususnya di Lembah Klang, terus menunjukkan tanda-tanda awal yang positif, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Terkini, katanya, kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital Lembah Klang menunjukkan trend penurunan selari dengan peningkatan liputan vaksinasi dos yang lengkap.

“Di Hospital Sungai Buloh khususnya, kemasukan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 semakin berkurangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hospital Sungai Buloh dijadikan hospital Covid-19 sepenuhnya pertama di negara ini pada 2 Oktober 2020, sebelum disusuli Hospital Ampang (23 Jun 2021), dan Hospital Selayang (21 Julai 2021).

Ketika kemuncak kes kematian, khususnya susulan peningkatan jangkitan di Selangor, Hospital Sungai Buloh terpaksa menggunakan kontena untuk menempatkan jenazah pesakit Covid-19.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pula dilancarkan pada Februari tahun ini.

Mengikut rekod terbaharu Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini 82.8 peratus daripada populasi dewasa seluruh negara telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19, manakala 62.6 peratus lagi melengkapkan dos kedua.

Jumlah kumulatif pemberian dos vaksin Covid-19 di seluruh negara sehingga semalam mencecah lebih 34.0 juta dos.

Bagi Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, sehingga semalam sebanyak 90.3 peratus daripada populasi dewasa telah melengkapkan suntikan dos kedua, manakala 110.9 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham mengajak orang ramai untuk bersama-sama memastikan diri dan ahli keluarga masing-masing mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Marilah kita bersama-sama berusaha memastikan diri sendiri dan ahli keluarga tersayang yang layak menerima dos vaksinasi lengkap bagi mengurangkan risiko keterukan penyakit yang serius dan kemasukan ke hospital, mengurangkan risiko kemasukan ke ICU dan mengurangkan risiko kematian akibat Covid-19,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa mengambil dos lengkap vaksin Covid-19, memakai pelitup muka – sebaik-baiknya dua lapis dan pelindung muka – menjaga penjarakan fizikal dengan mengelakkan kawasan sesak, sempit dan sembang jarak dekat, serta dan kerap mencuci tangan, adalah usaha dan ikhtiar untuk mencegah dan membendung penularan jangkitan virus Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR