Program transformasi mampu tingkatkan modal pasaran GLC

Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah berjaya meningkatkan permodalan pasaran bagi 20 GLC terpilih sebanyak 2.9 kali kepada RM386 bilion dalam tempoh 10 tahun, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata program itu turut berjaya meningkatkan hasil bersih GLC kepada RM26.2 bilion setahun, selain menambah pulangan pemegang saham kepada 11.1 peratus setahun, lapor Bernama.

Tengku Zafrul berkata, melihat kepada saiz dan pengaruh ekosistem GLC dalam pembangunan sosioekonomi negara, adalah wajar bagi Syarikat Pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) dan GLC untuk terus distruktur dan ditambah baik.

“Dalam perkara ini, kerajaan kini giat berusaha untuk menajamkan lagi fokus GLIC, terutamanya dalam menceburi industri baru seperti yang berteraskan Revolusi Industri 4.0.

“Usaha menambah baik ini juga akan dilaksanakan oleh GLC tersenarai melalui Program Transformasi Syarikat Senaraian Awam yang saya lancarkan pada 2 Mac lepas,” katanya pada majlis pelancaran Hari Terbuka GLC di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata kemasukan Malaysia sebagai ahli Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mulai 18 Mac ini dijangka meningkatkan hasil eskport negara sebanyak RM44 bilion setahun.

Beliau berkata ia merupakan antara petanda yang mencerminkan potensi perkembangan yang memberangsangkan bagi 2022 selain peralihan negara ke fasa endemik bermula 1 April ini.

Katanya kadar pengangguran juga menunjukkan pemulihan kepada 4.2 peratus pada Januari 2022, penurunan 1.1 peratus kepada 680,400 berbanding 687,600 pada Disember 2021.

“Malah, petanda lain adalah minat berterusan daripada pelabur asing yang secara bersih, telah melabur RM3.5 bilion dalam pasaran bon tempatan pada Januari lepas dan RM3.6 bilion ringgit dalam pasaran ekuiti tempatan sehingga kini,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR