Program BN di KL bukan Melaka tapi kenapa kena kompaun juga?

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mempertikaikan tindakan kompaun RM10,000 yang dikenakan terhadap penganjuran program Barisan Nasional (BN) semalam kerana parti lain tidak pula dikenakan tindakan sama.

Ahmad berkata walhal program pelancaran jentera BN semalam berlangsung di Kuala Lumpur dan bukannya di Melaka, jadi tidak sepatutnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya mengambil tindakan terhadap BN yang mengadakan program di ibu kota tetapi juga perlu mengambil tindakan terhadap parti yang mengadakan program hampir sama di Melaka.

“Namun, apa yang kita lihat yang diviralkan ada parti lain juga melancarkan jentera pilihan raya dan ia dibuat di Melaka.

“Walaupun pelancaran itu sebelum pengumuman perkara-perkara dalam akta yang disebut, ia juga sebenarnya terpakai. Tidak kira sama ada telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan ataupun sebelum Menteri Kesihatan, pelancaran jentera oleh parti lain itu juga berlaku dan ia tidak dibuat di Kuala Lumpur macam kami buat,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu.

Ahmad berkata KKM tidak boleh pilih kasih dalam tindakan kompaun tersebut dan menggesa parti yang mengadakan program sebelum ini di Melaka juga dikenakan kompaun sama.

“Jadi kita harap jangan ada double standard (pilih kasih) mengenai kompaun ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Agungnya BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata mereka akan membayar kompaun RM10,000 yang dikenakan.

Zambry menyifatkan tiada masalah untuk BN membayar kompaun tersebut dan mengakui pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berlaku semasa pelancaran jenteranya malam tadi di PWTC.

“Bagaimanapun sebagai parti yang berpegang dan patuh kepada prinsip undang-undang, maka BN akan membayar kompaun berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepatutnya pelancaran tersebut diadakan di Melaka tetapi ditukar lokasi ke Kuala Lumpur susulan pengumuman KKM baru-baru ini yang melarang sebarang aktiviti perhimpunan berkaitan pilihan raya di negeri tersebut.

Kompaun tersebut dikeluarkan pihak Pejabat Kesihatan Kepong dibawah Akta 342 yang melanggar SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi penganjuran majlis sosial, surat kompaun tersebut juga dimuat naik dalam akaun rasmi Facebook KKM malam tadi.

BERITA BERKAIT
POPULAR