PRN Sarawak pula bakal berlangsung, SPR kaji pelaksanaan

Satu lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan selepas ini, ia susulan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan sedang mengkaji pelaksanaan kaedah pilihan raya yang bakal dijalankan di Sarawak.

Perkara itu disahkan Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak yang berkata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg sudah dimaklumkan berhubung penarikan darurat tempatan di Sarawak yang menangguhkan tarikh akhir Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sepatutnya berakhir pada Jun.

Sepatutnya darurat yang diisytihar berakhir pada Feb 2022 tetapi ditarik balik semalam selepas Yang Di-Pertuan Agong berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Ikmalrudin berkata, mengikut Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, DUN akan terbubar secara automatik apabila darurat itu ditarik balik.

Tambahnya, Seksyen 3(4) ordinan yang sama turut menyatakan PRN mesti menyusul dalam tempoh 60 hari selepas tamat darurat.

“Justeru itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.

“Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya dipetik laporan media hari ini.

Darurat di Sarawak diperkenalkan pada Ogos untuk menghalang PRN di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Yang Di-Pertuan Agong juga menyatakan kebimbangan mengenai kesan PRN dan mengakui penarikan darurat itu sebagai keputusan yang “sukar dan rumit”.

BERITA BERKAIT
POPULAR