PRN Melaka: SPR nafi hanya individu lengkap divaksin boleh mengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan hanya individu lengkap divaksinasi menjadi syarat untuk pemilih mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti dilaporkan beberapa agensi media.

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh menegaskan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) untuk PRN Ke-15 Melaka belum dimuktamadkan.

“SPR menafikan vaksinasi lengkap sebagai syarat untuk pemilih mengundi di PRU DUN Melaka ke-15 sepertimana yang dilaporkan oleh beberapa agensi media pada hari ini,” kata.

Menurutnya SOP itu akan berpandukan kepada pandangan dan nasihat dari Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia dari semasa ke semasa.

Terdahulu Bernama melaporkan SPR akan memperketatkan SOP di semua pusat pembuangan undi.

“SOP kita di pusat mengundi juga ketat. Syarat-syarat seperti dah lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. Justeru kita merayu agar semua pengundi lengkapkan vaksin dahulu.. kita ada masa lagi,” lapor Bernama memetik kenyataan awal Abdul Ghani pada sidang media, hari ini.

Mengikut daftar pemilih, Melaka mempunyai seramai 495,196 pengundi membabitkan 482,550 pengundi biasa; 10,191 anggota tentera dan pasangan; 2,349 anggota polis dan 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR