PRN Melaka: Polis kenal pasti 16 lokasi panas

Polis Melaka mengenal pasti 16 lokasi panas di negeri itu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula hari penamaan calon 8 November ini, kata Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Menurutnya semua lokasi panas di ketiga-tiga daerah itu akan dipantau menggunakan unit dron.

Katanya, polis akan menggunakan empat unit dron bagi memantau lokasi-lokasi panas selain bantuan dari Unit Pencegahan Rusuhan, Pasukan Gerak Am (PGA) dan Unit pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

“Daripada penilaian yang dibuat ketika ini kita dapati terdapat 16 kawasan yang dipanggil ‘hot spot’ yang mana akan diberi tumpuan utama oleh polis dan kita akan gunakan unit dron untuk membuat penilaian tentang keselamatan dan ketenteraman awam.

“Apabila ada dron penugasan dan persediaan kita lebih mudah, selain pandangan lebih jauh dan kita sebenarnya akan buat pengawasan di semua kawasan tetapi lokasi-lokasi panas akan diberi tumpuan lebih,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Latihan Ketenteraamn Awam (POX) OP PRN Melaka di Balai Polis Melaka Tengah di Banda Kaba, hari ini.

Abdul Majid memberi jaminan polis akan memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh PRN ketika pandemik Covid-19, termasuk penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP).

“Polis kontinjen Melaka amat bersedia jika berlaku apa sahaja kemungkinan berkaitan ketenteraman awam.

“Maknanya latihan yang dibuat, bermula daripada latihan ketenteraman awam sehingga jika keadaan jadi tidak terkawal pengisytiharan darurat akan dibuat.

“Semasa PRN ini juga, kontinjen Melaka mempunyai 17 pasukan ‘light strike force’ yang mana kita akan memastikan ketenteramana awam sepanjang PRN ini berjalan lancar supaya rakyat boleh keluar mengundi dan proses demokrasi itu juga berjalan lancar,” katanya.

Pada masa sama Abdul Majid berkata, seramai 3,835 pegawai dan anggota polis termasuk 1,245 bantuan kontinjen luar Melaka digerakkan untuk membuat kawalan dan penugasan sepanjang tempoh PRN ini.

Menurutnya, cuti tahunan pegawai dan anggota polis Melaka turut dibekukan bagi mengadapi PRN ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR