PRN Melaka: Polis buka kertas siasatan terhadap PH di Telok Mas

Polis membuka satu kertas siasatan terhadap Pakatan Harapan (PH) kerana melanggar arahan dan amaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak ada perarakan atau aktiviti perkumpulan oleh penyokong sempena penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kertas siasatan dibuka di Kompleks Komuniti Desa, Telok Mas yang merupakan pusat penamaan calon (PPC) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

Kumpulan individu berpakaian kemeja-T berwarna merah itu dikesan berarak mengiringi calon PH, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.

“Kita dapati terdapat kehadiran lebih kurang 25 penyokong PH mengiringi calon di kawasan DUN Telok Mas dan kertas siasatan akan dibuka.

“Pasukan Cantas Khas kemudian telah bertindak pantas menyuraikan dan memberi amaran kepada penyokong agar mereka bersurai sebelum semua beredar dari lokasi PPC,” katanya hari ini.

katanya, pihak polis akan mengenal pasti individu-individu terlibat sebelum siasatan diteruskan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

SPR sebelum ini sudah mengeluarkan amaran kepada semua parti, tidak membenarkan sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding di mana-mana tempat sepanjang tempoh penamaan calon.

Hanya calon, pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon sekali gus menyaksikan kelainan berbanding pilihan raya sebelum ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR