PRN Melaka: Ismail Sabri gagal runding elak pertembungan BN, PN

Barisan Nasional (BN) mengesahkan meletak calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, sekali gus bakal menyaksikan pertembungan sesama sendiri parti Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu bulan ini.

Pengesahan itu secara tidak langsung dibuat Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan ketika memaklumkan hari ini bahawa semua 28 bakal calon BN perlu menandatangani Akuan Berkanun (SD).

Ia sekali gus memperlihatkan usaha dilakukan Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi mengelak pertembungan BN dan Perikatan Nasional (PN), gagal.

Ini bermakna, PRN Melaka yang dijadualkan pada 16 November bagi pengundian awal dan 20 November untuk pengundian biasa akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru BN, PN dan Pakatan Harapan (PH).

Hujung bulan lalu, Ismail Sabri memaklumkan beliau sedang menjalankan rundingan dengan PAS dan Bersatu bagi mengelak pertembungan parti Kerajaan Pusat pada PRN Melaka, selaras mandat diberi Majlis Tertinggi UMNO.

“Keputusan UMNO adalah kita berhasrat mengelakkan pertembungan dengan mana-mana parti dalam kerajaan, terutama tiga parti di Semenanjung. MKT UMNO memberi mandat kepada saya untuk berunding dan berbincang dengan parti dalam kerajaan bagi mengelak pertembungan,” kata Ismail Sabri.

22 Oktober lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan parti itu akan bertanding di semua 28 kerusi DUN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon, susulan pembubaran DUN pada 4 November lalu setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada UMNO menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan kerajaan UMNO negeri.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Terdahulu pada sidang media selepas majlis penyerahan DUN angkat membabitkan Lendu, Taboh Naning dan Ayer Limau kepada UMNO Negeri Sembilan di Kampung Pulau, hari ini, Mohamad berkata semua 28 bakal calon yang dipilih mewakili BN pada PRN Melaka perlu menandatangani SD bagi mengelakkan mereka melompat parti.

Pada masa sama beberapa surat perjanjian lain juga akan dibuat sebagai langkah parti bagi memastikan kestabilan politik negara, katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat Hasan.

Menurutnya, SD itu sedang disiapkan oleh peguam dan akan ditandatangani semua bakal calon BN sebelum majlis pengumuman parti itu esok.

”Ini supaya kestabilan politik di negara terutama di Melaka. Sementara dalam Parlimen atau DUN belum ada lagi akta atau enakmen ini (lompat parti), maka kita terpaksa membuat aku janji dan ada dua, tiga lagi dokumen untuk ditandatangani bakal calon sebelum diberi tauliah esok,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, dokumen perjanjian itu sudah dimuktamadkan sebagai amaran tegas kepada bakal calon untuk tidak belot kepada parti.

Timbalan Presiden UMNO itu juga berkata 90 peratus daripada calon BN adalah muka baharu.

Sehubungan itu beliau yakin semua penyandang kerusi DUN yang digugurkan akan berlapang dada dan memberi laluan kepada muka baharu.

BERITA BERKAIT
POPULAR