PRN Melaka: 57 peratus daripada 476,037 pemilih keluar mengundi

Sebanyak 57 peratus daripada 476,037 pemilih biasa keluar membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sehingga jam 3 petang tadi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengundian hari ini berlangsung dalam keadaan cuaca mendung dan hujan renyai di beberapa kawasan di sebelah pagi.

Mengimbangi antara tuntutan demokrasi dan kesihatan rakyat kerana pandemik Covid-19 yang masih wujud, proses mengundi juga dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang digariskan SPR bagi mengelak jangkitan.

Memetik laporan Bernama, pengundi yang patuh dengan garis panduan SPR dilihat mula berbaris seawal jam 7.30 pagi bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing sambil sabar menanti pusat pengundian dibuka pada 8 pagi.

Setakat ini tiada pelanggaran SOP dilaporkan.

Bagi membendung penularan Covid-19 dan menjamin keselamatan pengundi dan petugas pilihan raya, dewan atau sekolah yang digunakan sebagai pusat mengundi turut disanitasi dengan kekerapan sejam sekali, namun kekerapan itu berubah bergantung kepada jumlah kehadiran pengundi pada satu-satu masa.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh turut turun padang meninjau perjalanan proses pengundian di beberapa lokasi di negeri ini bagi memastikan ia berjalan lancar.

Proses pengundian PRN Melaka bermula jam 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga waktu mengundi tamat pada jam 5.30 petang ini.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

BERITA BERKAIT
POPULAR