PRN Johor: Wanita positif Covid-19 cuba mengundi dikompaun RM1,000

Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap seorang wanita yang positif Covid-19 kerana hadir ke pusat mengundi dalam tempoh kuarantin, pada pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.

Wanita berusia lingkungan 30-an berkenaan adalah pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.

Tindakan diambil Inspektor Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru selepas pemeriksaan mendapati aplikasi MySejahtera wanita itu merah sejurus tiba di Dewan Kampung Melayu Majidee untuk mengundi.

Wanita itu memberi alasan tidak mengetahui individu menjalani kuarantin kerana positif Covid-19 dilarang keluar mengundi, sambil mendakwa mendapat makluman individu dalam kuarantin masih boleh mengundi.

Inspektor Kesihatan terbabit menjelaskan individu positif Covid-19 tidak boleh keluar mengundi dan wajib menjalani kuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Sebagai individu yang didapati positif Covid-19, awak tidak boleh keluar rumah langsung, apatah lagi keluar mengundi di pusat mengundi melainkan rumah dalam pusat mengundi.

“Kami menawarkan kompaun RM1,000 dan awak perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dalam tempoh 14 hari,” katanya yang mengarahkan wanita terbabit segera pulang ke rumah selepas kompaun dikeluarkan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Datuk Dr Aman Rabu, menjelaskan pihaknya komited menjalankan pemantauan SOP PRN Johor.

Katanya, kompaun ke atas wanita itu dikeluarkan pada jam 11.45 pagi di Dewan Kampung Melayu.

“Siasatan awal mendapati wanita terbabit positif Covid-19 Kategori Dua.

“Individu positif Covid-19 dilarang keluar dari tempat isolasi. Kegagalan mematuhi arahan ini boleh dikompaun mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berdasarkan SOP Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRN Johor, individu yang disahkan positif Covid-19 tidak dibenarkan meninggalkan lokasi kuarantin mereka untuk ke pusat mengundi bagi mengelakkan risiko jangkitan.

SOP itu juga menyatakan pesakit dalam siasatan (PUI) dan orang di bawah pengawasan (PUS) boleh meminta kebenaran daripada pejabat kesihatan daerah untuk ke pusat mengundi bagi mengundi.

Berdasarkan laman sesawang CovidNOW Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga semalam 11 Mac 2022, seramai 18,585 pesakit Covid-19 sedang menjalani kuarantin di rumah; 183 ditempatkan di PKRC; 1,011 dimasukkan ke hospital; dan 38 dirawat di unit rawatan rapi.

BERITA BERKAIT
POPULAR