PRN Johor: Sokongan PN meningkat, BN tertekan bakal guna senjata RM5k

Barisan Nasional (BN) dikatakan dalam keadaan tertekan tatkala sokongan bangsa Johor terhadap Perikatan Nasional (PN) semakin meluas dan meningkat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.

Susulan itu, spekulasi kini bertiup kencang BN bakal mengeluarkan ‘senjata’ simpanan yang merupakan ‘aset’ strategi bagi menarik balik sokongan terhadap mereka – SIMPANAN KWSP.

Ya! Agenda Daily menerima maklumat berhubung spekulasi bahawa BN, khususnya UMNO akan mendesak habis-habisan supaya kerajaan yang kini dipimpin mereka, meluluskan pengeluaran khas simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tetapi! Ianya sekadar RM5,000 bukan RM10,000 seperti yang diminta oleh pelbagai pihak sebelum ini.

Peluang BN dan UMNO ‘menjayakan’ desakan yang mungkin menyebabkan kerajaan menerima dan meluluskannya, terbuka luas susulan banjir kilat yang melanda Lembah Klang semalam, yang menyebabkan ramai kerugian akibat kenderaan mereka ditenggelami air.

Kejadian banjir kilat itu akan dijadikan alasan utama, selain beberapa alasan lagi akan direka bagi ‘menghalalkan’ pengeluaran khas simpanan KWSP RM5,000, walaupun sebelum ini kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MoF) dan pihak KWSP sendiri menolak permohonan one-off RM10,000.

Semua maklum sebelum ini, kerajaan menerusi MoF dan KWSP telah memberikan alasan yang disokong pakar ekonomi dan kesatuan sekerja, ketika menolak desakan dikepalai Pemuda UMNO dan mendapat sokongan kepemimpinan tertinggi parti itu.

Pada 28 Disember tahun lalu, KWSP dalam satu kenyataan yang dilaporkan media tempatan menyatakan sokongan supaya pengeluaran khas i-Citra diberhentikan bagi membantu ahli membina semula kecukupan simpanan persaraan mereka.

KWSP berkata, kepelbagaian bantuan kewangan kerajaan yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan untuk pemulihan daripada pandemik dan banjir baru-baru ini adalah dialu-alukan semasa waktu sukar ini, justeru, sebarang pengeluaran khas daripada simpanan KWSP pada masa hadapan adalah dianggap tidak perlu.

KWSP adalah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.

“Ditubuhkan sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70 peratus simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.

“Walau bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam,” kata KWSP. Sila baca berita berkaitan

Sebelum ini pun, pada 26 Disember 2021, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan pengeluaran itu bukan suatu keperluan buat masa ini, susulan kerajaan sudah memperuntukkan dana dan mengumumkan bantuan yang mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara, selain sedia menambah peruntukan berkenaan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, dengan ada antaranya berisiko menjadi miskin tegar selepas pencen. Berita berkaitan

Pakar ekonomi juga setuju keputusan kerajaan, khususnya KWSP, menolak tuntutan pengeluaran i-Citra RM10,000 secara one-off bertujuan memberi pendidikan kepada orang ramai supaya berhati-hati menggunakan wang tersebut.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keputusan itu bukan menunjukkan kerajaan tidak mampu, tetapi lebih kepada memastikan keperluan semasa dan jangka panjang adalah seimbang. Berita berkaitan

Sementara Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) turut menggesa kerajaan supaya tidak tunduk terhadap desakan individu atau parti tertentu berhubung pengeluaran KWSP.

Presiden DPMM Abd Halim Husin dalam satu kenyataan pada 8 Januari lalu turut membidas pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan isu KWSP untuk meraih sokongan politik walhal langkah tersebut akan memberi masalah semasa persaraan pada masa depan nanti. Berita berkaitan

Namun, susulan perkembangan terkini berkaitan sokongan yang semakin meningkat bangsa Johor, khususnya warga Felda, terhadap PN menjelang PRN Johor, BN, terutama UMNO, akan mendesak kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP itu walaupun RM5,000 sahaja.

Apa lagi sekarang ini, isu pengeluaran KWSP dan kelewatan bantuan banjir menyebabkan kerajaan yang diterajui UMNO menjadi tidak popular dalam kalangan rakyat.

Dan kesan daripada penghapusan hutang peneroka Felda yang menyebabkan sokongan terhadap PN semakin meningkat, terus menghantui BN/UMNO dalam PRN Johor.

Spekulasi kini bertiup kencang bahawa pengumuman pengeluaran RM5,000 daripada simpanan KWSP akan dibuat sebelum hari pengundian PRN Johor, 12 Mac ini – satu usaha saat akhir untuk menarik semula sokongan pengundi kepada BN/UMNO.

Ia juga akan menjadi ‘senjata’ untuk mematahkan fakta PN telah membantu rakyat, khususnya puluhan ribu peneroka Felda di Johor, dengan menghapuskan hutang RM8.3 bilion.

Penghapusan hutang peneroka Felda yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri pada 2021 lalu, dilihat sebagai penyebab bangsa Johor kini memberi sokongan kuat kepada Perikatan Nasional.

BERITA BERKAIT
POPULAR