PRN Johor: Proses pengundian berjalan lancar

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman melaksanakan tanggungjawab mengundi di Sekolah Sri Muar, Muar, bagi kerusi N.15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani jam 9 pagi tadi.

Beliau turut menyeru rakyat Johor untuk tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab untuk memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan hari ini.

“Keluarlah mengundi beramai-ramai dan laksanakanlah peluang mengundi ini dengan penuh tanggungjawab.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas-petugas pilihan raya seperti kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan Malaysia dan semua anggota keselamatan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan proses pengundian bagi PRN Johor berjalan lancar setakat jam 11 pagi hari ini, dengan para pengundi yang hadir ke pusat-pusat pengundian mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 13 peratus pengundi telah mengundi setakat jam 10 pagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan ibu bapanya pula mengundi bagi DUN Endau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mersing.

Beberapa calon-calon yang bertanding dalam PRN Johor raya kali ini juga selesai mengundi pada awal pagi antaranya calon Pejuang bagi DUN Kempas Nornekman Osman, calon Barisan Nasional (BN) DUN Kota Iskandar Pandak Ahmad dan calon BN DUN Semarang Datuk Samsolbari Jamali.

“Saya sentiasa mendoakan kejayaan anak,” kata ibu Nornekman iaitu Datin Nora Md Som yang juga balu bekas menteri besar Johor Datuk Osman Sapian, selepas selesai mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Larkin (1) di sini.

Allahyarham Osman merupakan penyandang DUN Kempas.

Nornekman berdepan pertandingan tujuh penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Ramlee Bohani, calon PKR Napsiah Khamis @ Maharan dan Nur Faizal Abdullah mewakili Perikatan Nasional (PN).

Dalam kesibukan membuat liputan PRN Johor, beberapa petugas media juga menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi untuk memilih wakil rakyat mereka.

BERITA BERKAIT
POPULAR