PRN Johor: Polis siasat kes bakar, rosakkan bendera parti politik

Polis membuka kertas siasatan mengenai laporan kes membakar dan membuang bendera sebuah parti politik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang, pagi tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat sehubungan itu menggesa penyokong parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya bersaing secara sihat dan positif.

“Memasuki hari ketiga berkempen, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku kecuali kejadian beberapa bendera parti politik dibakar pagi tadi,” katanya hari ini.

Beliau berkata polis memandang serius kejadian itu dan akan melakukan siasatan secara menyeluruh, termasuk memanggil wakil parti politik untuk membantu siasatan.

“Saya beri jaminan kita akan menyiasat perkara itu, selain turut meningkatkan rondaan dan menambah lagi pasukan pemantau untuk memastikan tiada tindak balas berlaku atau kejadian sama berulang. Biar polis selesaikan perkara ini,” katanya.

Kamarul Zaman berkata selain insiden membakar dan membuang bendera parti di DUN Layang-Layang, terdapat juga insiden beberapa papan poster membabitkan PKR didakwa dirosakkan di kawasan DUN Tenggaroh.

Beliau juga mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam PRN Johor supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Peraturan menggariskan kempen tamat jam 10 malam, jadi tamatkan saja kempen pada waktu itu tidak perlu untuk memohon masa dilanjutkan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR