PRN Johor: Polis buka 13 kertas siasatan

Polis telah membuka 13 kertas siasatan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sejak 26 Februari 2022 hingga semalam (1 Mac 2022), kata Ketua Polis Negeri Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Menurutnya semua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selain siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan terkini PRN Johor Ke-15, hari ini.

Katanya, semalam sahaja empat kertas siasatan telah dibuka dan disiasat mengikut undang-undang berkenaan.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga polis meluluskan 369 permit ceramah di seluruh negeri, termasuk 81 permit yang dikeluarkan semalam.

“PDRM Johor menasihatkan semua parti politik serta kumpulan penyokong sentiasa mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan dalam tempoh masa berkempen.

“Polis Johor juga menasihatkan supaya semua parti politik serta kumpulan penyokong hendaklah memastikan kempen yang dijalankan tidak mengganggu atau menghalang laluan lorong orang rama dan laluan pengguna jalan raya serta menghormati antara satu sama lain.

“Sekiranya mempunyai sebarang permasalahan yang timbul, mana-mana pihak boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR