
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan pada 12 Mac 2022.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju melonggarkan sedikit syarat dan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, apabila membenarkan penceramah membuka pelitup muka ketika berkempen.
SOP pencegahan Covid-19 terkini itu dikeluarkan hari ini, dibuat berdasarkan cadangan pindaan dan tambahan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurut SOP terbaharu itu, penceramah perlu terus memakai semula pelitup muka selepas selesai menyampaikan ceramah atau syarahannya, lapor Bernama.
Berdasarkan SOP berkenaan, semua yang hadir ceramah, syarahan atau kempen, hendaklah sentiasa memakai pelitup muka serta mengekalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara individu.
Bagi aktiviti mesyuarat parti, SOP itu menyatakan semua individu yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa, dan menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, selain aktiviti bersalaman adalah dilarang.
“Pindaan pada SOP pencegahan Covid-19 itu berkuat kuasa serta merta,” menurut SPR yang berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan, etika kempen serta garis panduan pencegahan Covid-19 tersebut, bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor pada 12 Mac dengan pengundian awal akan berlangsung esok (8 Mac).