
Kementerian Kesihatan menafikan menyediakan saluran khas kepada pesakit Covid-19 mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor, esok, 12 Mac 2022.
Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menafikan menyediakan saluran khas mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mereka yang positif Covid-19 sebagaimana tular dalam klip audio di media sosial.
Dalam satu kenyataan KKM juga berkata pihaknya tidak mengeluarkan sebarang arahan sebagaimana dakwaan di dalam klip audio itu.
Terdahulu, tular satu rakaman audio berdurasi 1.08 saat yang mendakwa kononnya mereka yang positif Covid-19 boleh mengundi dengan syarat perlu memaklumkan KKM mengenai butiran peribadi seperti nama, alamat dan nombor telefon.
Rakaman audio itu turut mendakwa kenderaan KKM yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) akan membawa pengundi yang positif Covid-19 pergi dan pulang dari pusat mengundi.
Menerusi klip audio itu, lelaki berkenaan juga meminta pesakit Covid-19 yang menghadapi masalah untuk menghubunginya menerusi laman media sosial berkenaan.
Sehubungan itu, KKM meminta orang ramai supaya mengabaikan rakaman audio yang tular tersebut.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pernah mengeluarkan arahan seperti dalam rakaman audio ini untuk PRN Johor.
“Justeru, sila abaikan rakaman audio ini dan ikuti arahan MKN/SPR yang sedang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu.
Berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya, individu yang bergejala seperti demam, batuk, sakit tekak atau susah bernafas tidak dibenarkan masuk ke premis dan hendaklah meninggalkan premis dengan segera.
Namun begitu, pengecualian untuk masuk ke premis yang digunakan untuk aktiviti pilihan raya diberikan kepada:
i. calon, pencadang dan penyokong semasa Hari Penamaan Calon;
ii. pengundi pada hari mengundi awal/hari mengundi; dan
iii. Ketua Tempat Mengundi (KTM) pada hari penjumlahan rasmi undi.
Maklumat lanjut boleh melayari http://sprinfo.spr.gov.my/