PRN Johor: Kempen secara fizikal, bersemuka harap dilonggarkan

Beberapa parti politik berharap mereka diberi ruang dan peluang untuk menjalankan kempen secara fizikal dan bersemuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih longgar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional Johor Ahmad Nawfal Mahfodz bagaimanapun berkata PN tetap akur dengan ketetapan SOP Covid-19 yang akan ditetapkan kelak, menurut laporan Bernama.

“Apa-apa pun, kita perlu melihat perkembangan kes Covid-19 semasa. Memang membimbangkan tetapi pergerakan sosial masih berlangsung. SOP perlu diselaras dengan baik agar kes tidak melonjak lebih bahaya.

“Untuk PRN Johor, yang penting ada ruang yang baik, memadai untuk calon dapat bertemu dengan pengundi mereka dengan pematuhan SOP. Kalau terlalu ketat, itu tidak ‘raya’,” kata Ahmad Nawfal yang juga Ketua Pemuda PAS Johor ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ketua Pemuda MCA Johor Ling Tian Soon berkata langkah melonggarkan SOP bagi pelaksanaan PRN Johor akan memberi manfaat kepada parti politik bertanding mendekati pengundi untuk mencapai objektif mereka.

“Sekiranya SOP dilonggarkan, orang ramai khususnya parti politik tetap perlu sentiasa berwaspada kerana (masih ada) kes Covid-19 direkodkan sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata selain membenarkan parti politik berkempen melalui ceramah dengan pematuhan SOP yang lebih longgar, program seperti tinjauan mesra juga penting dalam usaha mereka menyantuni pengundi di sesuatu kawasan.

“Kalau kita tengok, pengundi di PRN Melaka seolah-olah tiada peluang untuk berinteraksi dengan calon-calon. Ini tidak elok kerana dalam sistem demokrasi, adalah mustahak pengundi mendapatkan pandangan dan pendirian calon-calon dalam sesuatu isu yang berkait rapat dengan mereka, sama ada isu tempatan mahupun nasional,” katanya.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad pula berkata SOP PRN yang sedikit longgar akan memberi peluang sama rata khususnya kepada parti pembangkang untuk berkempen.

“Saya bersetuju cadangan itu, paling tidak kebenaran untuk berkempen perlu diberi khususnya di kawasan yang kurang berisiko sama seperti yang dilaksanakan semasa PRN Sarawak baru-baru ini,” katanya.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata beliau berharap SOP Covid-19 bagi PRN Johor dilonggarkan supaya lebih banyak kempen di lapangan dapat dilakukan.

Menurut Abdul Ghani, SPR kini sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara berhubung perkara itu.

Johor mencatatkan 868 kes baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negeri ini berjumlah 260,447 dan merekodkan 3,918 kematian.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 kekal pada 1.15 semalam dengan Perlis merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.29, diikuti Putrajaya (1.21) dan Johor (1.17).

BERITA BERKAIT
POPULAR