PRN Johor: Jabatan Kesihatan beri jaminan keselamatan pengundi pada hari mengundi

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor menjangkakan tiada kluster baharu akan tercetus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung sehingga menjelangnya hari pengundian, Sabtu ini.

Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) JKN Johor Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din berkata meskipun berlaku peningkatan kes positif baharu Covid-19 di negeri ini, namun ia tidak akan berlaku secara mendadak kerana penularan varian Omicron mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi berbanding varian terdahulu, menurut laporan Bernama.

“Selagi kita mematuhi SOP, norma baharu, saya yakin kita dapat mengekang penularan Covid-19.

“Kemungkinan ‘kluster pilihan raya’ tidak akan berlaku tetapi semuanya bergantung terus kepada semua pihak termasuk jentera parti itu sendiri dan masyarakat untuk memastikan tiada penularan,” katanya semasa menjadi tetamu pada program Suara Johor.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan JKN Johor telah menyebarluaskan maklumat berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kempen pematuhan SOP sepanjang tempoh PRN Johor berlangsung bagi mengekang penularan wabak itu.

Beliau berkata sejak Februari, Johor melaporkan peningkatan kes Covid-19 dengan purata kira-kira 2,000 kes sehari.

Bagaimanapun, beliau berkata kebanyakan kes hanya mempunyai gejala ringan atau tidak gejala dengan lebih 95 peratus dalam kategori 1 dan 2.

Mengenai persediaan Kementerian Kesihatan (KKM) menjelang hari pengundian Sabtu ini, Dr Shaharom Nor Azian berkata seramai 2,393 anggota kesihatan akan bertugas di khemah bergejala.

“Di samping itu seramai 248 anggota penguat kuasa akan bertugas bersama-sama Polis Diraja Malaysia bagi memantau pematuhan SOP sepanjang tempoh proses PRN Johor,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri Johor Kayrul Hidayah Mansor berkata setakat semalam, sebanyak 41 kompaun bernilai RM41,000 telah dikeluarkan kepada individu dan penganjur sepanjang kempen PRN Johor.

Katanya daripada jumlah tersebut, 70 peratus kompaun dikenakan atas kesalahan gagal mematuhi penjarakan fizikal, mengedar risalah secara bersemuka (14 peratus), tidak mengimbas kod QR MySejahtera (tujuh peratus), tidak memakai pelitup muka (lima peratus) dan tidak membuat saringan bergejala (dua peratus).

BERITA BERKAIT
POPULAR