PRN Johor: Boleh kempen hingga 12 malam

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat sedikit perubahan terhadap prosedur operasi standard (SOP) kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan membenarkan ceramah diadakan sehingga jam 12 malam, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan hari ini SPR berkata ceramah, syarahan dan kempen juga kini boleh diadakan di dalam dan di pekarangan pejabat parti serta bilik gerakan parti yang rasmi.

Ini adalah antara kelonggaran baharu yang diberikan SPR bagi pilihan raya negeri itu.

Menurut kenyataan itu, ceramah sepanjang kempen juga dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam, berkuat kuasa serta-merta berbanding hanya sehingga jam 10 malam sebelum ini.

SPR menjelaskan kelonggaran itu dibuat berdasarkan cadangan pindaan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jumlah kehadiran ceramah, syarahan, kempen tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang mengikut mana yang terendah, bagi memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain dan memakai pelitup muka.

“Jumlah itu, termasuk penganjur, urus setia, penceramah dan peserta. Ceramah, syarahan yang diadakan tidak boleh melebihi jam 12 tengah malam. Ceramah, syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum, tidak dibenarkan,” kata SPR.

Sebelum ini, SPR menggariskan bahawa penganjuran ceramah, syarahan atau kempen hanya terhad bilik gerakan parti sehingga jam 10 malam.

Susulan perubahan itu, SPR berkata, pindaan dan tambahan pada SOP Pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Johor akan berkuat kuasa serta-merta.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan Covid-19.

“Ini bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman serta keselamatan awam. Makluman berkenaan pindaan dan tambahan SOP Pencegahan Covid-19 boleh dirujuk menerusi portal spr.gov.my,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR