PRN Johor: 87 peratus keluar undi awal

Sebanyak 87 peratus atau 18,625 pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjalankan tanggungjawab masing-masing sejak pusat pembuangan undi dibuka jam 8 pagi tadi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia Datuk Ikmalrudin Ishak pengundi awal itu membabitkan anggota tentera dan pasangan, serta anggota polis dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPR sebelum ini, memaklumkan sebanyak 63 pusat mengundi membabitkan 83 saluran dibuka bermula 8 pagi tadi bagi proses pengundian awal PRN Johor.

Sebanyak 29 pusat mengundi awal  ditutup jam 12 tengah hari tadi, dengan lapan lagi ditutup jam 2 petang, manakala 26 pusat mengundi awal lagi ditutup jam 5 petang.

Hari mengundi penuh PRN Johor akan dilaksanakan pada 12 Mac ini yang akan melibatkan kira-kira 2.57 juta pengundi biasa.

Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN kali ini.

Sementara itu, jurucakap polis Johor berkata antara sebab peratusan mengundi tidak mencapai 100 peratus ialah:

  • Pengundi menjalani kuarantin setelah positif Covid-19;
  • Bertukar tempat tugas di kontinjen lain;
  • Bersara;
  • Meninggal dunia; dan
  • Lain-lain sebab yang tidak dapat dielakkan.

Keseluruhannya tahap keselamatan semasa proses pengundian awal dalam suasana aman dan lancar serta terkawal tanpa sebarang insiden.

BERITA BERKAIT
POPULAR