PRN Johor: 46 peratus keluar mengundi sehingga jam 3 petang

Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi setakat 3 petang adalah sebanyak 46 peratus, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR juga memaklumkan sebuah lagi pusat mengundi iaitu Sekolah Kebangsaan Pulau Pemanggil di Mersing yang melibatkan satu saluran bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh dan mempunyai 100 pengundi yang layak mengundi ditutup pada jam 1 tengah hari tadi.

Sebanyak 15 pusat mengundi pula ditutup pada jam 2 petang, manakala 41 pusat mengundi akan ditutup pada 4 petang. Pusat-pusat mengundi lain akan ditutup pada 6 petang, lapor Bernama.

Tinjauan di jeti Mersing, beg berisi kertas undi dan kelengkapan dari pusat pengundian Balai Raya Pulau Besar bagi DUN Tenggaroh yang ditutup pada 11 pagi telah tiba di jeti tersebut pada kira-kira 1.20 tengah hari dengan menaiki bot laju.

Pusat mengundi yang mempunyai satu saluran dan 34 pengundi yang layak mengundi itu menjadi pusat mengundi pertama yang ditutup bagi PRN Johor.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka bermula 8 pagi untuk proses pengundian hari ini.

Sebanyak 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi DUN.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata keadaan aliran trafik di lebuh raya dan jalan raya di negeri ini dilaporkan lancar, selain tiada kesesakan dilaporkan berlaku di pusat-pusat mengundi.

BERITA BERKAIT
POPULAR