PRN Johor 12 Mac 2022, kos cecah RM96 juta

February 9, 2022 · Isu semasa

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac 2022 sebagai hari pembuangan undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dalam kenyataan selepas mesyuaratnya hari ini, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata SPR juga menetapkan hari penamaan calon adalah pada 26 Februari 2022 dan hari mengundi awal pada 8 Mac 2022.

“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas perisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Februari 2022 sehingga 11.59 malam 11 Mac 2022,” katanya.

SPR secara rasmi telah menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berhubung pembubaran DUN penggal ke-14 pada 23 Januari 2022 sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undnag Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

Sehubungan itu, SPR telah mengadakan mesyuarat khas hari ini dan memutuskan satu Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Johor Ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 56 kerusi DUN tersebut, kata Abdul Ghani.

Menurutnya bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, permohonan undi pos untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), dan kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan), telah dibuka bermula 9 Februari 2022 hingga 18 Februari 2022.

“Manakala untuk kategori Borang 1A (Petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media) pula dibuka bermula 9 Februari 2022 hingga 24 Februari 2022.

“Permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan Kesihatan) dilaksanakan secara dalam talian,” katanya.

Permohonan untuk mengundi secara pos itu boleh dibuat di pautan https://myspr.spr.gov.my/.

Abdul Ghani  juga menasihatkan pemohon supaya memohon lebih awal apabila tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan.

Menurutnya, untuk tujuan PRN Johor itu seramai 56 Pegawai Pengurus Pilihan Raya, dibantu 186 Penolong Pegawai Pengurus, telah dilantik.

Manakala bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi itu, SPR menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR), yang dianggotai wakil daripada polis, pihak berkuasa tempatan dan wakil calon bertanding.

“Bagi maksud PRU DUN Johor Ke-15 sebanyak 56 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 56 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan,” kata Abdul Ghani.

Sementara itu, SPR juga menyeru bakal calon supaya mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon.

Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal, bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Bagaimanapun, SPR mengingatkan bahawa kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadang ketika hari penamaan di pusat yang telah ditetapkan.

SPR akan terus menyiarkan secara langsung proses pilihan raya menerusi live streaming bagi DUN yang terpilih di laman Facebook SPR sebagaimana yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini, katanya.

Katanya, seramai 49,290 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU DUN Johor ke-15, manakala, sebanyak 1,021 pusat mengundi biasa yang mengandungi 4,638 tempat mengundi/saluran dan 63 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 82 tempat mengundi/saluran awal, akan digunakan.

Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,084 buah dengan 4,720 tempat mengundi/saluran. PRU Dewan Negeri Johor ke-15 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM96 juta.

Abdul Ghani berkata semua 962 buah pusat mengundi biasa pada Hari Mengundi akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 6 petang dan yang baki 59 pusat mengundi dibuka mengikut waktu yang telah diwartakan.

Manakala bagi pusat mengundi awal, 29 buah pusat mengundi akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, 8 buah pusat mengundi dari jam 8 pagi hingga 2 petang dan baki 26 buah pusat mengundi awal akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU Dewan Negeri Johor ke-15 ini adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari 2022.

Daftar Pemilih tersebut mengandungi 2,597,742 orang pengundi yang terdiri daripada 2,574,835 orang pengundi biasa, 10,955 orang anggota tentera dan pasangan, 11,576 orang anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara. DPPR tersebut akan mula dijual pada 21 Februari 2022 (Isnin).

Para pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR pengundi.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak. Semakan boleh dibuat mulai 21 Februari 2022 (Isnin).

SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mana-mana badan atau individu berkelayakan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRU Dewan Negeri Johor ke-15 bermula pada hari mengundi sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi sahaja serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR.

SPR juga memaklumkan permohonan untuk menjadi Pemerhati Pilihan Raya boleh dikemukakan kepada SPR melalui e-mel [email protected] mulai hari ini, 9 Februari 2022 dan tarikh tutup adalah pada 17 Februari 2022.

Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen `Jom Kita Undi` melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian.

SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi. SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi.

SPR juga akan meneruskan penambahbaikan seperti berikut:

a. Syarat-syarat kelayakan pengundi pos Kategori Luar Negara seperti yang dilaksanakan sebelum ini telah dimansuhkan,
iaitu:
i. Bermastautin di luar negara kecuali di Wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia; dan
ii. Pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa.
b. Menyediakan saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas di setiap Pusat Mengundi;
c. Memanjangkan tempoh masa pengundian selama 30 minit dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang berbanding pada PRU-14 iaitu dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang;DAN
d. Pengundi-pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) akan mengundi di Saluran 1. Seramai 43,149 orang pengundi OKU telah dikenal pasti dan mereka adalah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagi tujuan mencegah penularan wabak Covid-19 sepanjang tempoh pilihan raya, satu Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan PRU Dewan Negeri Johor Ke-15 sedang dikemaskini oleh SPR, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). SOP ini akan dimaklumkan setelah dimuktamadkan nanti.

Berita berkaitan
MUDA tak matang, kata AMK ingatkan Majlis Presiden PH
September 11, 2022· Politik
Presiden parti lain yang kalah teruk perlu juga letak jawatan?
April 7, 2022· Rencana
UMNO tak mahu Ismail Sabri jadi PM selepas PRU-15: Dr Mahathir
April 4, 2022· Politik
Rafizi kata PKR, PH gagal, kembali ke gelanggang tanding Timbalan Presiden
March 15, 2022· Politik
Popular
Ribuan peniaga diramal gulung tikar ekoran kenaikan harga bahan mentah: Laporan
September 20, 2023
Zaid Ibrahim disiasat bawah Akta Hasutan, diambil keterangan
September 21, 2023
Kemalangan treler: Pekerja Pos Malaysia dan Mahkamah Ampang dikenal pasti maut
September 20, 2023
Pemandu bas sekolah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana meliwat
September 20, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Zaid Ibrahim disiasat bawah Akta Hasutan, diambil keterangan
3 jam lalu · Isu semasa
RM4 juta masuk akaun Najib dari syarikat berkait Jho Low: Saksi
3 jam lalu · Isu semasa
Kemalangan treler Putrajaya: Pemandu direman empat hari
3 jam lalu · Isu semasa
Penagih dadah meningkat 27 peratus, kata AADK
6 jam lalu · Isu semasa
Kemalangan treler: Pekerja Pos Malaysia dan Mahkamah Ampang dikenal pasti maut
19 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Susah senang bersama, PN tidak akan khianat pengundi sertai kerajaan PH-BN
2 jam lalu
[VIDEO] Rakyat beratur beli beras Rahmah macam negara kita miskin
5 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok