Presiden PAS jalani kuarantin

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Abdul Hadi Awang kini menjalani kuarantin di rumah setelah kembali daripada lawatan kerja empat hari ke Qatar pada 31 Januari hingga 4 Februari 2022.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden PAS itu berkata beliau menjalani kuarantin sebagaimana yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya lawatan itu mendapat mandat dan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar yang sedia terjalin, serta membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama di rantau Timur Tengah dan umat Islam seluruhnya.

“Fokus utama lawatan ini adalah untuk menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dalam usaha pembangunan semula Afghanistan termasuk penyelarasan misi bantuan kemanusian.

“Di samping membuka pintu kerjasama baharu antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, dan kebajikan bagi manfaat bersama,” katanya.

Sepanjang lawatan di Doha, Abdul Hadi mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan Qatar dan pemegang taruh utama, termasuk Perdana Menteri Qatar, Sheikh Khalid bin Khalifa; dan Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Sheikh Mohamed bin Hamad.

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS), Sheikh Dr Ahmed Raissouni, dan Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen.

BERITA BERKAIT
POPULAR