Premis makanan boleh buka hingga jam 6 pagi sepanjang Ramadan

Kerajaan membenarkan semua premis menjual makanan di seluruh negara dibuka sehingga jam 6 pagi sepanjang Ramadan yang bermula esok.

Bagaimanapun, premis makanan yang terletak di dalam pusat membeli-belah tertakluk kepada waktu operasi bangunan berkenaan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kerajaan menerima pelbagai rayuan daripada rakyat untuk mendapatkan makanan, terutama bagi mereka yang hendak bersahur.

Sebelum ini operasi di kedai makan atau warung dihadkan sehingga 12 tengah malam atau mengikut syarat lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Ini bermakna kedai makanan boleh teruskan operasi sehingga waktu sahur dan orang ramai boleh bungkus makanan atau makan di kedai yang dibuka,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan PKP di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata penganjuran majlis berbuka puasa dibenarkan seperti bufet Ramadan di hotel, restoran dan premis makanan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau berkata, pramusaji dikehendaki menyendukkan makanan kepada pelanggan bagi hidangan secara bufet.

Beliau juga mengumumkan PKPB di Selangor, Johor, Kelantan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dilanjutkan bermula 15 sehingga 28 April, manakala PKPB di Sarawak pula dilanjutkan dari 13 hingga 26 April ini.

Katanya, PKPP di Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan, Perak, Negeri Sembilan (kecuali di Seremban) dan Kedah (kecuali di Kuala Muda) pula dilanjutkan mulai 15 hingga 28 April.

BERITA BERKAIT
POPULAR