Premier ganti Ketua Menteri Sarawak

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’.

Dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga apabila 67 ahli dewan menyokongnya dengan enam menentang, lapor Bernama.

Abdul Karim berkata pindaan itu seiring pindaan Perlembagaan Persekutuan yang berkuat kuasa minggu lepas.

Semasa menjelaskan penggunaan ‘Premier’ bagi menggantikan ‘Ketua Menteri’ di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Sarawak, beliau berkata ia sama seperti yang diamalkan oleh negara-negara Komanwel lain.

“Ketua Persekutuan digelar sebagai Perdana Menteri dan Ketua Wilayah membentuk Persekutuan digelar Premier manakala subwilayah atau negeri lain diketuai oleh Ketua Menteri,” katanya

Turut dicadangkan dalam rang undang-undang itu adalah gelaran ‘Menteri Muda’ dipinda kepada ‘Timbalan Menteri’.

Abdul Karim berkata pindaan gelaran jawatan itu perlu memandangkan tanggungjawab yang mereka pegang dan laksanakan.

“Nama jawatan ‘Menteri Muda ’ ditukar kepada ‘Timbalan Menteri’ untuk lebih mencerminkan fungsi dan tanggungjawab mereka,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Dudong) ketika membahaskan rang undang-undang itu berkata Sarawak perlu berusaha untuk mendapatkan lebih banyak kuasa autonomi dengan meluluskan resolusi yang sesuai atau meminda bahagian lain yang berkaitan dalam Perlembagaan Negeri.

“Perkara melibatkan kepentingan dan hak rakyat Sarawak perlu diutamakan. Begitu juga perkara yang melibatkan pendapatan isi rumah, peluang pekerjaan dan pembangunan infrastruktur di Sarawak,” katanya.

Chong Chieng Jen (PH-Padungan) pula membangkitkan isu istilah ‘Premier’ dalam rang undang-undang itu yang boleh mengelirukan apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.

Beliau berkata dewan itu perlu membuat pendirian untuk mewujudkan istilah standard untuk gelaran ini dalam Bahasa Malaysia sebelum meneruskan untuk meluluskan rang undang-undang itu.

Baru Bian (PSB-Ba’Kelalan) dalam perbahasannya berkata rang undang-undang itu tidak mengikut perlembagaan kerana Perlembagaan Persekutuan pada masa ini merujuk ketua eksekutif Sarawak sebagai Ketua Menteri dan tiada mana-mana dalam undang-undang tertinggi negara bahawa jawatan itu disebut sebagai ‘Premier’ .

“Adalah lebih baik untuk mengambil langkah konkrit yang akan memberi manfaat kepada Sarawak dan rakyat Sarawak dengan ketara, daripada tergesa-gesa menukar nama yang mungkin membawa sedikit kepuasan diri tetapi akhirnya boleh dikritik kerana tidak mengikut perlembagaan,” katanya.

Fazzruddin Abdul Rahman (GPS-Tupong) berkata penukaran gelaran itu akan memberikan pengiktirafan ketua eksekutif Sarawak berbanding Ketua Menteri Melaka dan Pulau Pinang.

“Apa yang lebih penting adalah semangat di sebalik pengenalan perkataan atau gelaran baharu ini untuk menandakan perbezaan tiga rakan yang membentuk Malaysia,” tambahnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR