
Pusat Pemberian Vaksin Axiata Arena Bukit Jalil bakal dibuka esok. - Gambar FB MOSTI
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar di Axiata Arena Bukit Jalil, yang mampu memuatkan kira-kira 4,000 pengunjung setiap hari, bakal memulakan operasinya esok.
Bagaimanapun, pada peringkat awal pihak pengurusan PPV itu menetapkan hanya akan menerima 1,600 penerima vaksin setiap hari, tetapi akan ditambah secara berperingkat dari semasa ke semasa.
Pengurus PPV Axiata Arena Bukit Jalil, Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi berkata individu yang akan datang ke PPV itu adalah mereka yang akan mengambil dos kedua vaksin Covid-19 selepas janji temu ditukar dari PPV Kompleks Sukan Desa Tasik dan Kompleks Komuniti Muhibbah.
“Sebelum ini, dua kompleks itu masing-masing boleh memuatkan 800 orang sebab itu kita akan mula menerima kunjungan 1,600 individu.
“Bila kita boleh pastikan semua proses lancar, tahap keselesaan penerima vaksin berada pada tahap maksimum dan tiada isu kesesakan, maka kita akan naikkan kepada angka 4,000 individu secara berperingkat,” katanya hari ini.
Selain Axiata Arena Bukit Jalil, PPV mega yang akan dibuka esok ialah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC); Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) dekat Shah Alam; dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.
Dr Mohd Fadhli juga berkata pihaknya telah melakukan simulasi penuh proses pemberian vaksin kepada 36 petugas barisan hadapan di PPV Axiata Arena Bukit Jalil, pagi tadi.
Katanya, proses itu berjalan lancar disaksikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
“Semua meja dan kerusi juga sudah siap disusun, selain penyediaan ruang menunggu bagi penerima vaksin. Dalam hal ini, kita akan terus mempertingkatkan proses perkhidmatan dari semasa ke semasa,” katanya.
Belau berkata, kira-kira 200 petugas membabitkan kakitangan kesihatan, sukarelawan, anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan di PPV Axiata Arena Bukit Jalil bagi melancarkan proses pemberian vaksin.
“Saya sarankan penerima vaksin supaya datang setengah jam atau sejam awal daripada masa janji temu ditetapkan. Kita ada ruang menunggu tetapi kalau terlalu ramai datang pada satu-satu masa, ia akan menyebabkan kesesakan dan penjarakan fizikal sukar dilakukan.
“Individu mempunyai simptom seperti batuk dan demam pula tidak disarankan datang ke pusat vaksin dan sesi janji temu mereka akan ditukar ke tarikh lain lebih sesuai,” katanya.