PPN dibuat penuh teliti sebelum dilaksanakan, kata Pengarah Belanjawan

Carta Pelan Pemulihan Negara.

Satu kajian yang teliti dengan mengambilkira implikasi ekonomi dan sosial akibat krisis Covid-19 melanda negara sejak setahun lebih dijalankan terlebih dahulu sebelum Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan, kata Pengarah Pejabat Belanjawan Negara Datuk Johan Mahmood Merican.

Johan berkata berdasarkan pemahaman daripada hasil kajian tersebut baharu pelan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengelak kerajaan menanggung risiko terhadap sesuatu langkah yang diambil demi membantu dan menjaga kebajikan rakyat.

“Kadangkala, saya berpendapat, risiko kita membuat sesuatu pengumuman dengan lebih awal sehingga kita benar-benar mempunyai pemahaman yang lebih baik, ialah, kita kemudiannya perlu membuat perubahan terhadap apa yang telah diputuskan.

“Kini, selepas mencapai satu tahap pemahaman tertentu setelah lebih setahun memerangi pandemik ini, kerajaan merasa cukup baik untuk mengumumkan (pelan itu),” katanya lapor Bernama.

Pelan Pemulihan Negara adalah strategi peralihan keluar daripada krisis COVID-19 merangkumi empat fasa, dan peralihan daripada setiap fasa kepada fasa seterusnya adalah berdasarkan data daripada tiga indikator ambang utama.

Sejak penularan pandemik ini pada tahun lepas, kerajaan telah melancarkan tujuh pakej rangsangan ekonomi dengan gabungan nilai RM380 bilion.

Empat pakej telah diumumkan pada 2020 — Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion, PRIHATIN PKS Tambahan bernilai RM10 bilion, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion dan Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (KITA PRIHATIN) bernilai RM10 bilion.

Pada tahun ini, kerajaan mengumumkan tiga lagi pakej rangsangan iaitu Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion, Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion dan Pakej Rangsangan PEMERKASA Tambahan bernilai RM40 bilion.

Dalam pada itu, Johan berkata erajaan menangani krisis COVID-19 dengan bertanggungjawab dan pendekatan itu telah diiktiraf oleh S&P Global Ratings menerusi pengesahan penarafan kredit berdaulat negara.

Beliau berkata walaupun kerajaan telah meningkatkan had statutori hutang sehingga 60 peratus, ia melindungi perbelanjaannya pada tahap bertanggungjawab untuk bertindak balas kepada krisis itu.

“Pengesahan S&P menunjukkan kita masih lagi bekerja dalam had dasar yang munasabah demi ekonomi yang berdaya tahan,” katanya menerusi program Breakfast Grille stesen radio BFM hari ini.

Baru-baru ini, S&P mengekalkan penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada A- dan ringgit pada A, dengan prospek negatif.

Agensi penarafan itu berkata, penarafan itu mencerminkan kekukuhan kedudukan sektor luaran Malaysia, dasar monetari yang fleksibel dan keupayaan menyokong kemampanan pertumbuhan ekonomi, walaupun peningkatan stok hutang kerajaan negara dan penentuan kadar fiskal yang sedang berkembang menjejaskan kekuatan ini.

Ketika ditanya mengenai kedudukan fiskal Malaysia, Johan berkata aspek terpenting pada masa ini adalah memastikan sokongan yang cukup terhadap industri, kecukupan kapasiti sistem penjagaan kesihatan untuk bertindak terhadap krisis kesihatan serta kesinambungan perniagaan bagi mereka yang terkesan akibat pandemik ini.

“Inilah yang kami utamakan. Sehubungan itu, mungkin terdapat beberapa fleksibiliti dari segi menguruskan defisit, terutamanya untuk tempoh yang masih berbaki tahun ini,” katanya.

Menurut Johan, kerajaan pada awalnya meramalkan defisit belanjawan sebanyak 5.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) di bawah Belanjawan 2021, namun mengubah semula sasaran defisit itu kepada enam peratus.

Sementara itu, Johan turut menyentuh mengenai Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang ditubuhkan pada akhir 1980-an demi kebaikan generasi akan datang.

“Sekiranya krisis sekali dalam seumur hidup ini bukanlah faktor yang baik untuk menggunakan KWAN, saya tidak tahu bagaimana,” katanya.

Sehingga 31 Dis 2020, dana itu telah memiliki nilai aset berjumlah RM19.5 bilion, merangkumi RM10.4 bilion daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan RM9.1 bilion bagi pulangan pelaburan yang dbuat oleh gergasi minyak dan gas itu.

Johan berkata kerajaan hanya menggunakan RM5 bilion daripadanya dan tidak akan menggunakan jumlah prinsipal yang disumbangkan Petronas.

“Mengapa perlu meminjam lebih banyak sedangkan ada dana yang mungkin tersedia? Ini akan menjadi kegunaan yang baik bagi dana tertentu dalam krisis dan kecemasan tertentu,” katanya.

Johan berkata Singapura turut mengeluarkan rizab tunainya, manakala Norway membuat pengeluaran daripada rizab minyak.

“Mereka menggunakan rizab mereka dan ia amat munasabah untuk berbuat demikian semasa krisis ini,” katanya lagi.

POPULAR