
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah, hari ini (27 Jun). - Gambar PDRM
Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket membeli-belah dalam talian palsu melibatkan rakyat asing dengan penahanan 23 individu, dipercayai warga Taiwan, dalam serbuan di sebuah banglo mewah di Batu Ferringhi Pulau Pinang, Sabtu lepas.
Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata anggota kumpulan itu yang berusia antara 19 dan 48 tahun tiba di negara ini bulan lepas.
Mereka terpikat dengan gaji tinggi sehingga RM7,000 yang ditawarkan sindiket itu melalui iklan yang diletakkan di akhbar Taiwan.
Beliau berkata sindiket itu akan mengiklankan barangan berjenama yang dijual oleh mereka kepada rakyat Taiwan.
Menurutnya rakyat asing yang tidak curiga dan berminat untuk membeli barangan yang ditawarkan oleh sindiket itu akan diminta membayar dalam platform melalui pautan yang disediakan oleh sindiket terbabit.
“Berdasarkan siasatan awal, tiada akaun bank Malaysia digunakan. Semakan juga menunjukkan sindiket itu menyasarkan warga Taiwan untuk menjual barangan mereka.
“Namun, kita sedang menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut. Ini kerana anggota sindiket berjaya memadamkan apa sahaja maklumat di dalam gajet elektronik yang digunakan mereka, yang kita rampas semasa serbuan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Eaerah Seberang Prai Tengah hari ini.
Menurut laporan media tempatan, Shuhaily berkata, anggota polis yang melakukan serbuan menghadapi beberapa kesukaran awal dalam percubaan memasuki banglo tiga tingkat itu dengan terpaksa mengambil masa kira-kira 10 minit untuk melakukannya.
“Disebabkan masa yang diambil, ini memberi ruang kepada ahli sindiket untuk memadam apa sahaja maklumat yang ada di dalam semua gajet elektronik yang dirampas,” tambahnya.
Dalam serbuan itu, polis merampas 46 telefon bimbit, 14 komputer riba, lapan iPad Apple, enam walkie talkie, 12 kad prabayar telefon, dua pembaca kad, dua pemacu pen, Wifi mudah alih dan penghala Wifi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Anggota sindiket itu kini di bawah perintah reman enam hari.
Dalam perkembangan berasingan, Shuhaily berkata polis sedang menyiasat penganjur flash mob yang menuntut penurunan harga barang.
Kejadian berlaku di bulatan Seberang Jaya pada Jumaat lalu. Semasa flash mob, 13 plakad dan sepanduk telah dipasang.
“Laporan polis telah dibuat ke atas flash mob itu. Berdasarkan siasatan kami, flash mob itu telah diadakan tanpa permit yang sah.
“Kita sudah merakam kenyataan daripada lapan orang termasuk penganjur. Kita sedang mengesan baki peserta yang dipercayai berjumlah kira-kira 30 orang,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.