
Rosnazirah Mohd Naim, 36 tahun, yang diculik di rumahnya di Tumpat, Kelatan diselamatkan di Thailand, kini dalam pemantauan polis di Kuala Lumpur. - Gambar media sosial
Polis Thailand telah mengedarkan gambar ejen kosmetik yang diculik dari rumahnya di Tumpat minggu lalu ke semua 19 balai polis di wilayah Narathiwat untuk membantu mengesan wanita itu.
Ketua Polis Daerah Narathiwat Jeneral Wan Seman Wan Salleh berkata polis turut mengedarkan gambar seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam penculikan itu.
“Kita kini menjalankan operasi besar-besaran bagi membantu PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengesan wanita berusia 36 tahun yang diculik dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat, pada 13 September lalu.
“Operasi mengesan mangsa itu digerakkan sejurus pihaknya menerima gambar mangsa dan juga seorang suspek yang dipercayai antara individu yang terlibat menculik wanita tersebut,” katanya menurut Bernama.
Wan Seman berkata operasi mengesan mangsa dilakukan dengan pantas atas hubungan baik dengan polis Kelantan dan kerjasama rentas sempadan selama ini.
Beliau berkata beberapa siri serbuan telah dijalankan di hotel, stor simpanan barang dan rumah kediaman, namun masih gagal menemukan mangsa.
“Polis Thailand juga telah memaklumkan mengenai kes tersebut di balai polis bersempadan dengan Kelantan iaitu di Balai Polis Sungai Golok, Waeng, Takbai dan Buketa supaya melipat gandakan usaha.
“Operasi ini juga melibatkan Unit Risikan Thailand yang kini masih menjalankan usaha mengesan suspek dan wanita terbabit,” katanya dan menambah gambar mangsa dan suspek turut diedarkan ke sempadan Wilayah Pattani dan Songkhla.
Dalam kejadian 13 September lepas, Rosnazirah Mohd Naim diculik anggota sindiket dadah dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat kira-kira jam 5.10 petang sebelum dipercayai dilarikan ke Thailand melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.
Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata siasatan awal pihaknya mendapati suami Rosnazirah terbabit dalam aktiviti sindiket dadah.
Susulan itu katanya, polis sudah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun semalam bagi membantu siasatan.