Polis teruskan siasatan kes mangsa rogol libatkan rakan ADUN

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim

Siasatan tetap akan diteruskan pihak polis berhubung kes tuduhan rogol yang dibuat oleh seorang wanita terhadap rakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia yang tular baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim yang berkata pihaknya akan memanggil semula saksi-saksi bagi mendapatkan maklumat lanjut dan setakat ini kes tersebut masih dalam siasatan.

“Berdasarkan laporan yang baru diterima, mungkin ada keperluan untuk memanggil semula saksi-saksi bagi melihat aspek lain dalam siasatan itu.

“Setakat ini, kes terbabit masih dalam siasatan polis dan kita dalam proses untuk melengkapkan siasatan bagi dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP),” katanya lapor Utusan Malaysia.

Menurut Azmi, setakat ini polis sudah membuat dua tangkapan bagi membantu siasatan, namun mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Semalam, media melaporkan seorang wanita mendakwa dirogol pada Disember tahun lalu, dan menamakan dua kenalan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham, dalam laporan polis dibuatnya berhubung kejadian itu.

Seorang daripada mereka ialah pemimpin bahagian parti komponen Perikatan Nasional (PN), manakala seorang lagi dikatakan sebagai kenalan lama Hilman.

Berdasarkan laporan polis, mangsa mendakwa dijemput Hilman ke sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk meraikan ulang tahun kelahiran bersama kenalan rapatnya dan dua rakan wanita lain, pada Jumaat, 4 Disember tahun 2020.

POPULAR