
Polis mengesahkan video yang menunjukkan ribuan orang memasuki Malaysia melalui COQ di Johor Baharu hari ini, 17 November 2022, adalah palsu.
Anak kepada seorang Ahli Parlimen Melaka didakwa menumbuk dan meludah seorang lelaki berusia 49 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Pernu pada 2 Mei lalu.
Dalam kejadian jam 12.33 tengah malam itu, individu berkenaan menghubungi mangsa, lalu mengeluarkan kata-kata kesat dan memintanya datang ke rumah.
Gara-gara tidak puas hati dengan mangsa yang dikatakan bersikap kurang ajar terhadap ibunya ketika berada di sebuah kedai ikan bakar di Umbai sebelum itu, pelaku berang lantas menumbuk kepala mangsa, lapor Utusan yang memetik sumber sebagai berkata.
“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah datang ke rumah lelaki berkenaan di Pernu.
“Ketika di rumah, berlaku pertengkaran hingga lelaki itu berang lalu terus menumbuk kepala mangsa.
“Lelaki itu juga menghantukkan kepalanya ke muka mangsa hingga menyebabkan kecederaan di bahagian hidung. Mangsa juga turut diludah di muka,” kata sumber itu.
Sehubungan itu katanya, mangsa meminta untuk bertemu dengan ibu individu itu jika benar dirinya bersalah, namun adik lelaki pelaku pula terus menghalaunya keluar dari rumah.
Sumber berkata, mangsa yang bekerja sebagai pengurus telah membuat laporan di Balai Polis Kandang kira-kira jam 12.36 tengah malam, semalam.
“Mangsa membuat laporan berkenaan kerana bimbang keselamatan dirinya dan ahli keluarga,” dedah sumber.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan, namun enggan mengulas lanjut.