
Polis Kuala Lumpur menerima 47 laporan berhubung kes penipuan visa haji, selain menahan dua lelaki serta tiga wanita warga tempatan berusia 28 hingga 51 tahunbagi membantu siasatan.
Polis Terengganu kini sedang menjalankan siasatan ke atas sebuah agensi pelancongan yang didakwa gagal menguruskan pakej haji bagi musim 2022.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan M Zambri Mahmud berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 7 Julai lepas daripada seorang mangsa warga emas yang mendakwa ditipu agensi berkenaan.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya menurut laporan Bernama hari ini.
Menurutnya siasatan awal mendapati, mangsa berusia 62 tahun yang juga merupakan seorang pesara telah membuat bayaran pertama sebanyak RM3,000 pada 2 Jun lepas.
“Bayaran penuh pada transaksi kedua sebanyak RM35,000 dibuat ke dalam akaun atas nama agensi pelancongan tersebut menjadikan jumlah kerugian sebanyak RM38,000,” katanya.
M Zambri berkata pemilik agensi tersebut kemudiannya memberikan pelbagai alasan dan gagal menempah tiket penerbangan pengadu sehingga menyebabkan mangsa terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7 Julai lepas.
“Tangkapan ke atas suspek akan dibuat dalam masa terdekat selepas siasatan di kontinjen lain yang terlibat selesai.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam pemilihan pakej haji dan memilih agensi pelancongan yang berkeupayaan untuk melaksanakannya,” katanya.
7 Julai lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak pagi dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.
Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).
Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.