
Anggota forensik polis Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan ke atas sebuah MPV setelah menemukan dua mayat remaja 19 tahun di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. - Gambar PDRM
Mayat sepasang remaja berusia 19 tahun ditemui dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah di kawasan tempat letak kenderaan bawah tanah sebuah bangunan kediaman di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata polis menerima maklumat jam 8.26 malam Ahad lalu berhubung kejadian itu menerusi panggilan telefon daripada orang awam yang menemukan mayat dalam sebuah Toyota Alphard.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Salak Selatan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan di lokasi menemui mayat seorang wanita tempatan di kerusi penumpang hadapan dan mayat seorang lelaki tempatan di bahagian penumpang belakang MPV berkenaan. Kedua-duanya berusia 19 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Idzam berkata pemeriksaan pada badan kedua-dua mangsa serta lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
“Kedua-dua mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Cheras, untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Ketua Polis Balai Salak Selatan, Inspektor Muhd Arfizan Ab Aziz di talian 019-9198729, Hotline Polis Cheras 03-92845050/5051), Hotline Polis Kuala (03-21159999) atau balai polis berhampiran.