Polis tembak mati lima anggota Abu Sayyaf di Sabah

Pegawai polis menunjukkan senjata api yang dirampas daripada anggota Abu Sayaf yang ditembak mati sambil diperhatikan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali (kiri).

Polis menembak mati lima anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf dalam operasi khas, yang dijalankan di kawasan setinggan di paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort pada jam 11.27 pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, salah seorang daripada suspek itu adalah ‘sub leader’ kumpulan pengganas tersebut dikenali sebagai Mabar Binda dan disenaraikan sebagai individu dikehendaki oleh Kerajaan Filipina.

Beliau berkata, tiga lagi suspek dikenali sebagai Abhirsham [email protected], Jurakhdam Binda, Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti dianggarkan berusia antara 20-an hingga 40-an.

“Dengan tumpasnya lima anggota kumpulan ini, polis yakin telah berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah, dan yang telah melakukan ba’iah dengan kumpulan militan Daesh,” katanya pada sidang media Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata, polis percaya masih lagi ada saki baki dan tali barut pulan itu yang bersembunyi di Malaysia khususnya di Sabah dan kita sedang menyiasat perkara itu.

Hazani berkata, semua lima suspek yang ditembak mati itu adalah warga Filipina, dan dalam kejadian itu polis turut menemui serta merampas dua pucuk pistol jenis semi auto colt .45, 20 butir peluru hidup, dua kelongsong peluru dan tiga bilah parang.

Katanya ketika kejadian, polis telah mengetuk pintu rumah di kawasan setinggan itu, bagaimanapun salah seorang suspek yang membuka pintu telah melepaskan tembakan, dan suspek lain bersenjatakan pistol serta parang keluar menyerang anggota polis, sebelum ditembak mati.

Beliau berkata, Mabar bersama tiga suspek kejadian itu sebelum ini berjaya melarikan diri dalam serbuan pada 8 Mei lepas di kawasan sama, sebelum polis berjaya menahan lapan anggota kumpulan Abu Sayyaf bersama 29 warganegara Filipina, yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Salah seorang daripada lapan anggota Abu Sayyaf yang ditahan pada 8 Mei itu adalah abang kepada suspek (Mabar),…polis percaya mereka kembali ke kawasan paya bakau itu untuk mendapatkan bekalan makanan, selain menjadi tempat persembunyian kerana ia terlindung daripada kawasan orang ramai,” katanya.

Hazani percaya suspek terlibat telah berada di kawasan itu sejak November tahun lepas, dan beliau yakin terdapat orang yang bersimpati, yang memberi bantuan kepada mereka, justeru pihak polis sedang memantau serta menyiasat perkara tersebut.

POPULAR