Polis tangkap lelaki positif syabu tetak empat ahli keluarga,

Seorang lelaki yang diburu selepas disyaki menetak empat ahli keluarganya menggunakan parang di sebuah rumah di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili di Kota Tinggi pada Khamis lepas akhirnya ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata lelaki berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah ladang nanas itu, ditahan di Jalan Persiaran Indahpura 4, Kulai pada pukul 11.50 pagi semalam, lapor Bernama.

“Lelaki itu juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine (syabu) dalam saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya.

“Dia akan direman di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula esok hingga Rabu di Mahkamah Majistret Kota Tinggi untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Hussin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pada Sabtu lepas, Hussin dilaporkan berkata polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki menetak isterinya yang berusia 30-an, ibu mentua (50-an), adik ipar perempuan (30-an) serta adik ipar lelaki (16 tahun), menggunakan parang ketika waktu berbuka puasa pada pukul 7.11 malam, Khamis sehingga kesemua mangsa mengalami cedera parah.

Ketika kejadian, dua anak lelaki itu masing-masing berusia lima tahun dan dua bulan berada bersama isterinya, namun kedua-duanya tidak cedera.

BERITA BERKAIT
POPULAR