
Tangkap layar klip video menunjukkan 'perang mercun' antara dua kumpulan pemuda di Senawang, Negeri Sembilan, 2 Mei lalu.
Polis menahan 10 lelaki dipercayai terbabit dalam ‘perang mercun’ di kawasan rumah kedai Taman Bandar Prima Senawang, di Seremban, pada malam raya pertama lalu.
Klip video ‘perang mercun’ itu tular dalam media sosial menunjukkan dua kumpulan bermain mercun dengan ‘menyerang’ satu sama lain seolah berperang.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata pihaknya mengesan video berdurasi 29 saat di laman sosial kira-kira 9 pagi semalam.
“Ia memaparkan sekumpulan lelaki melakukan gaduh gempar sesama sendiri menggunakan bunga api.
“Kejadian berlaku di Jalan BPS 3, Taman Bandar Prima Senawang. Kejadian dikatakan Malaysia versi Brazil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian tular itu berlaku kira-kira tengah malam Isnin 2 Mei lalu.
“Polis membuat tangkapan terhadap 10 lelaki berusia dari 19 hingga 42 tahun untuk tujuan siasatan lanjut dan merampas sejumlah besar bunga api serta mercun. Mereka ditahan di sekitar daerah ini semalam.
“Siasatan lanjut masih dijalankan. Permohonan reman terhadap semua suspek dibuat hari ini,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.