Polis siasat Mahfuz, rakan tak patuh SOP

Polis menyiasat kes Ahli Parlimen Pokok Sena daripada AMANAH, Datuk Mahfuz Omar tidak mematuhi prosedur operasi standard Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru-baru ini, selepas gambar ini tular di mesia sosial.

Polis membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar susulan tular beberapa keping gambar beliau didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir dalam satu kenyataan hari ini berkata satu laporan polis dibuat pada jam 11.36 malam semalam berhubung penularan gambar Ahli Parlimen berkenaan melalui media sosial.

“Siasatan awal mendapati ada beberapa keping gambar dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook.

“Gambar-gambar tersebut memaparkan seorang ahli Parlimen di Kedah terlibat dalam satu program bantuan dan kelihatan beliau tidak mengamalkan SOP yang telah ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa program tersebut berlangsung,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Peraturan 11(1), Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.4) 2021 kerana tidak memakai pelitup muka mahupun menjaga penjarakan sosial.

Terdahulu, tular gambar yang memaparkan Ahli Parlimen AMANAH itu hadir pada satu jamuan dengan hanya menyangkut pelitup muka di bawah dagunya.

Bukan itu sahaja Mahfuz dirakam duduk bersila di atas meja dengan dihiadangkan makanan dan minuman bersama beberapa individu lain pada satu program didakwa pada Jumaat lalu.

Agenda Daily difahamkan, polis juga membuka kertas siasatan terhadap individu yang dirakam di dalam gambar berkenaan kerana kebanyakan mereka turut tidak memakai pelitup muka dengan lengkap.

POPULAR