
Polis Daerah Batu Pahat membuka kertas siasatan berhubung cenderahati mi segera berperisa babi bagi peserta program derma darah.
Polis Daerah Batu Pahat membuka kertas siasatan berhubung kejadian penganjur program derma darah memberikan cenderahati berupa mi segera berperisa babi kepada peserta, termasuk umat Islam.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata pihaknya menerima satu laporan pada kira-kira jam 11.38 pagi semalam (27 Jun) yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya laporan itu menyatakan sebahagian penderma darah menerima beg cenderahati mengandungi mi segera dipercayai berperisa babi – minced pork.
“Siasatan awal mendapati pada 26 Jun satu program derma darah anjuran bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Hospital Sultanah Nora Ismail telah diadakan di BP Mall Batu Pahat.
“Setelah selesai menderma darah, mereka (penderma) telah menerima goodies bag sumbangan NGO tersebut. Sebahagian penerima adalah beragama Islam mendapati terdapat mi segera dipercayai berperisa minced pork,” katanya.
Ismail berkata susulan itu, polis telah menubuhkan satu pasukan untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian itu dengan beberapa individu terlibat telah dipanggil memberi keterangan, manakala beberapa rampasan turut dilakukan.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 298A dan 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, penganjur program berkenaan dilaporkan memohon maaf kepada orang ramai yang menerima beg cenderahati berisi mi segera berperisa daging babi cincang, kelmarin.
Pengerusi jawatankuasa pengelola program berkenaan Lou Kok Meng berkata perkara berkenaan tidak disengajakan dan pihaknya akan bertanggungjawab sepenuhnya mengenai kejadian terbabit.
“Pihak penganjur mengambil maklum mengenai perkara itu dan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
“Wakil daripada kami juga sudah ke Bahagian Pengurusan Pentadbiran Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk memberi penjelasan mengenai kejadian itu,” katanya.