
Polis telah mengambil keterangan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kenyataannya mengenai kavadi.
Polis Sentul akan merakam kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan kerana didakwa membuat kenyataan yang dianggap tidak sensitif kepada masyarakat Hindu.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat terhadap Mohamad berhubung kenyataannya mengenai kavadi dalam temu bual baru-baru ini.
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.
“Kami akan merekodkan keterangan saksi lain sebelum memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau,” katanya menurut MalayMail.
Beh juga mengesahkan bahawa laporan polis oleh sayap bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), semalam.
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul oleh Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu, S Gobi Krishnan selepas Mohamad atau dikenali Tok Mat itu seakan tidak mempunyai rasa bersalah dan meminta maaf terhadap kenyataannya sebelum ini.
Dalam wawancara dengan Asia Times baru-baru ini, Mohamad menyebut tentang “kavadi besar” untuk menjelaskan kekalahan UMNO semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Mohamad juga dipercayai keliru mengenai sambutan Deepavali dengan Thaipusam apabila menyentuh mengenai “kavadi”
“UMNO dikalahkan pada PRU 2018 bukan kerana UMNO tidak menjaga rakyat tetapi UMNO mempunyai “kavadi besar”, kamu tahu kavadi?
“Apabila orang Hindu merayakan Deepavali. Mereka membawa kavadi besar ini. Bagasi besar ini,” kata Mohamad dipetik dalam audio rakaman wawancara tersebut.